Art Detail | Ilham Gallery
Portrait of Dr. Mahathir Mohamad
 TAMBAH KE ALBUM
Portrait of Dr. Mahathir Mohamad
1994

Lakaran potret Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, ini memperlihatkan kepentingan lukisan potret tempahan dalam aktiviti kesenian Hoessein Enas. Kebanyakan lukisan yang siap disimpan dalam koleksi peribadi orang kenamaan yang mewarnai landskap politik Malaysia. Lukisan potret juga telah digemari di kalangan masyarakat kelas pertengahan yang kian membesar. Banyak lakaran potret yang dibuat dalam proses melukis potret tempahan telah disimpan oleh Hoessein Enas sendiri. Karya-karya lakaran ini mencermin minda seorang pelukis yang begitu teliti  butir-butir halus dan memberi sedikit sebanyak kilasan detik-detik intim pertemuan di antara pelukis dan modelnya.

Maklumat
Media:
Pensel atas kertas
Dimensi:
38 x 28cm
Tarikh:
1994
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Hoessein Enas
Tentang Hoessein Enas

Hoessein Enas (1924-1995) tiba di Malaya dari Indonesia pada 1947. Reputasinya sebagai pelukis potret beraliran realisme akademik semakin terserlah selepas Kemerdekaan Malaya pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, negara yang akhirnya beliau anggap sebagai tanah airnya. Pada 1956, beliau menjadi ahli dan sekali gus pengasas Angkatan Pelukis Semenanjung, sebuah persatuan pelukis yang penting dalam sejarah perkembangan aktiviti kesenian tanah air sekitar era Kemerdekaan. Pada 1963, syarikat Shell menaja pengembaraannya ke seluruh pelusuk negara bagi tujuan menghasilkan sebuah siri lakaran dan lukisan untuk memperingati pembentukan Malaysia. Pada 1990, Hoessein Enas dianugerahkan status ‘Pelukis Diraja’ oleh DYMM Sultan Selangor.

Bacaan Selanjutnya

  • Dato’ Hoessein Enas: From His Personal Collection, Rahel Joseph and Nur Hanim Khairuddin, eds., Kuala Lumpur: ILHAM, 2015.

  • Menemui Moderniti: 40 tahun Angkatan Pelukis Se-Malaysia, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, 1998.

  • Tan Chee Khuan, The Life and Art of Dato’ M. Hoessein Enas, Penang Art Gallery, 1999.

Bahagian Pembelajaran

  • Ahli politik, pemimpin, dan orang-orang kenamaan suka merakamkan wajah mereka, baik dalam gambar mahupun lukisan. Kenapa? Adakah lukisan potret lebih baik daripada gambar yang diambil oleh jurugambar profesional? Kenapa?

  • Adakah anda rasa Tun Mahathir Mohamad suka dengan potret ini? Kenapa? Adakah dia memilih untuk bergaya dan memakai pakaian itu? Atau, adakah itu hanya rekaan si pelukis? Apakah yang boleh kita jelaskan melalui cara bergaya dan pakaian yang dipakai oleh orang di dalam lukisan tersebut? Apakah hubungan orang tersebut dengan pelukisnya?