Art Detail | Ilham Gallery
Untitled
 TAMBAH KE ALBUM
Untitled
1960

Dalam lukisan alam benda ini, Georgette Chen memaparkan beberapa bahan masakan yang berbeza yang disusun secara agak formal tetapi bersahaja di atas meja rotan. Setiap objek seharian yang dilukis dalam karya ini bertindak sebagai penanda budaya yang membantu meletakkan momen yang dirakamkan ini dalam konteks tempatan. Seikat bawang putih digantung di sebelah meja yang di atasnya diletakkan sebuah bekas tradisional daripada tanah untuk menyimpan arak Cina, sebuah botol kaca, dua biji lobak putih dan sebuah bakul berisi telur. Latar belakang kelabu bercampur dengan bayangan warna kobalt suram, iaitu gabungan warna yang sering dikaitkan dengan pelukis ini. Dilukis dengan warna-warna lembut tetapi suram, karya ini menampilkan secara ekspresif pemandangan dan dengan itu menunjukkan kemahiran tinggi Georgette Chen dalam menggunakan kaedah-kaedah lukisan cat minyak Barat untuk membicarakan tema-tema tempatan.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
65 x 54 cm
Tarikh:
1960
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Georgette Chen
Tentang Georgette Chen

Georgette Chen (1906–1993) dilahirkan di Zhejiang, China. Beliau terkenal kerana lukisan-lukisan alam benda dan potret yang dihasilkannya dengan menggunakan cat minyak. Pelukis prolifik dan pendidik seni ini adalah salah seorang dalam kelompok pelukis yang mempelopori gaya lukisan Nanyang. Georgette merupakan anak seorang ahli perniagaan yang berniaga barangan seni dan antik Asia. Beliau membesar di China, Paris dan New York. Antara tahun 1926 dan 1927, beliau mengikuti kelas seni lukis di Art Students League di New York. Selepas itu beliau belajar di Academie Colarossi dan Academie Biloul di Paris. Pada tahun 1930, karya-karya beliau dipamerkan buat pertama kali di Salon d’Automne yang sangat berprestij di Paris dan kemudiannya dalam pelbagai pameran besar di bandar-bandar seperti Shanghai dan Singapura. Beliau berhijrah ke Pulau Pinang pada tahun 1951 dan di sana beliau mengajar di Hang Chiang High School. Dua tahun selepas itu beliau berpindah ke Singapura dan mengajar secara sambilan di Nanyang Academy of Fine Arts dari tahun 1954 hingga 1981. Pada tahun 1982, beliau dikurniakan Singaporean Cultural Medallion for Art atas pencapaian dan sumbangan cemerlang beliau kepada bidang seni di rantau ini.

Bacaan Selanjutnya

  • Emelia Ong, ‘The Nanyang Artists: Eclectic Expressions of the South Seas,’ Narratives in Malaysian Art Vol 1: Imaging Identities, e.d. Nur Hanim Khairuddin, Beverly Yong with T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: Rogue Art, 2012. 

  • https://www.nationalgallery.sg/georgettechen

  • A Brief History of Malayan Art,  Marco Hsu (translated by Lai Chee Kien), Millennium Books, 1999.

Bahagian Pembelajaran

  • Dalam lukisan ini, Georgette Chen meminjam tradisi lukisan kehidupan pegun barat dan menggunakannya untuk menggambarkan budaya beliau sendiri. Terangkan apa yang anda lihat dalam lukisan ini? Apakah petanda-petanda yang menggambarkan suasana sebuah kediaman gaya Malaysia. Apakah objek-objek yang anda kenali dan apakah jenis masakan yang anda bayangkan apabila melihatnya? Georgette Chen merupakan orang berketurunan Cina. Dapatkah anda buktikannya melalui lukisan hidupan pegun ini? Apakah objek-objek kaum lain di Malaysia yang anda ingin masukkan?

  • Anda adalah apa yang anda makan. Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan ini dan adakah anda bersetuju dengannya? Apakah makanan yang kita makan dan cara kita memakannya mencerminkan identiti kita? Bolehkah anda menghasilkan satu lukisan hidupan pegun berdasarkan makanan di dapur anda yang menggambarkan warisan dan identiti anda? Apakah yang anda akan masukkan ke dalam lukisan hidupan pegun tersebut?