Art Detail | Ilham Gallery
Whales
 TAMBAH KE ALBUM
Whales
1960

Pelukis Chen Wen Hsi adalah seorang pencinta alam semula jadi dan beliau terkenal kerana lukisan-lukisannya yang menggunakan subjek burung pucung dan ungka. Walau bagaimanapun, dalam karya ini kita melihat siluet ikan-ikan paus dengan latar belakang laut biru. Di bahagian bawah, siluet ikan paus menjadi semakin abstrak dan pelukis bermain dengan ruang negatif apabila laut dan siluet-siluet itu saling bersilang dan bertindih. Berbeza dengan bahagian kiri yang kelihatan agak padat, bahagian kanan lukisan ini menunjukkan hanya dua ekor ikan paus biru diletakkan di tengah-tengah latar belakang berwarna hitam. Pelukis ini dipengaruhi oleh gaya Kubisme dan kita dapat melihat dalam karya ini bagaimana beliau menggunakan elemen-elemen kubisme seperti bentuk dan satah geometri.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
100 x 80 cm
Tarikh:
1960
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Chen Wen Hsi
Tentang Chen Wen Hsi

Chen Wen Hsi (l. 1906, Guangdong, Cina – m. 1991, Singapura) merupakan seorang pelukis perintis Malaya yang dilahirkan di China dan dikaitkan dengan kemunculan gaya seni lukis Nanyang. Beliau menerima pendidikan seni di Shanghai College of Art dan kemudiannya di Xinhua College of Art. Sewaktu beliau tiba di Singapura pada tahun 1948, beliau telah pun menempa nama di China dan juga di peringkat antarabangsa. Di Singapura, beliau menjadi pensyarah di Chinese High School dan Nanyang Academy of Fine Arts. Seperti kebanyakan rakannya yang terlibat dengan gaya Nanyang, Chen mahir dalam lukisan dakwat Cina dan catan minyak Barat. Walaupun beliau paling dikenali menerusi lukisan-lukisan dakwat Cina yang memaparkan imej ungka mengikut gaya tadisional xieyi, beliau juga melakukan eksperimen dengan teknik Kubisme dan abstrak dalam banyak karya ciptaannya.

Bacaan Selanjutnya

eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_772_2004-12-29.html   

  • A Brief History of Malayan Art,  Marco Hsu (translated by Lai Chee Kien), Millennium Books, 1999.

Bahagian Pembelajaran
  • Teliti lukisan ini. Terangkan dengan terperinci kenapa bahagian kiri lukisan ini berbeza dengan bahagian kanan. Apakah persamaannya? Kenapakah pelukis memilih susun atur sedemikian?

  • Lukisan ini berjudul, Whales. Adakah judul ini penting untuk membantu anda memahami lukisan ini? Apakah elemen-elemen ikan paus yang ditumpukan oleh pelukis ini? Apakah perincian-perincian lain yang tidak dimasukkan? Apakah judul-judul lain yang anda akan berikan kepada lukisan ini?

  • Dalam lukisan ini, pelukis bermain dengan ruang negatif dan bayang-bayang. Ruang negatif ialah ruang kosong di sekitar titik tumpuan. Apa kata anda jawab karya Chen Wen Hsi ini? Dapatkan dua keping kertas dengan warna berbeza, saiz salah satu kertas itu mestilah separuh daripada saiz kertas satu lagi. Potong beberapa bentuk mudah pada kertas yang lebih kecil tersebut (contohnya bentuk ikan). Tampalkan kolaj anda dengan menampalkan bentuk-bentuk bayang pada salah satu bahagian dari kertas yang lebih besar tersebut dan ruang negatif selebihnya pada bahagian lain kertas tersebut.