Art Detail | Ilham Gallery
The Women
 TAMBAH KE ALBUM
The Women
c. 1950s

Lukisan ini menggambar tuaian padi luar biasa. Warna kuning memandi langit sama seperti kuning yang mewarnai dua figura wanita dan padi yang diangkut mereka. Sawah di belakang  terbentang jauh ke ufuk menandakan padi yang banyak. Wanita itu digambarkan tegap kejantanan, yang seorang nampak tua sikit  daripada yang disebelahnya, mungkin anak dan ibu, selaras dengan tema kesuburan lukisan ini.

Yong Mun Sen terkenal dengan lukisan cat airnya yang menggambarkan pemandangan tepi laut Pulau Pinang, di mana dia tinggal. Namun, dia juga mahir melukis dengan cat minyak. Kehandalannya mengguna cat air bermula dengan latihan lukisan dakwat Cina tradisional. Dia sering dikaitkan dengan stail Nanyang pertengahan abad ke-20. Sebaliknya, lukisan cat minyaknya dipengaruhi oleh pelukis Pos-Impresionis Barat seperti Paul Gauguin dan Vincent van Gogh. Tidak seperti lukisan cat airnya yang lebih tenang dan tidak berunsur peribadi, lukisan ini menggambarkan kekaguman artis dengan kerja keras ​​dua petani wanita ini, di bawah matahari terik. Mun Sen sendiri telah terpaksa bercucuk tanam semasa penguasaan Jepun di Tanah Melayu.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas papan
Dimensi:
43 × 53 cm
Tarikh:
c. 1950s
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Yong Mun Sen
Tentang Yong Mun Sen

Yong Mun Sen (lahir 1896, Sarawak – meninggal 1962) ialah salah seorang artis moden Malaysia yang awal. Dilahirkan di Kuching, Sarawak, beliau kemudiannya dihantar ke daerah Dabu di Wilayah Guangdong, China, untuk mempelajari lukisan dan kaligrafi dakwat Cina. Sekembalinya ke British Malaya, beliau berulang-alik beberapa tahun antara Singapura dan Pulau Pinang. Di Pulau Pinang, beliau membuka Studio Tai Koon Art di Chulia Street, mungkin studio foto yang pertama di situ, dan menubuh mungkin juga persatuan seni yang pertama di situ, Kelab Seni Cina Pulau Pinang. Kemudian, di Singapura, beliau telah terlibat dalam mengasaskan Akademi Seni Halus Nanyang pada tahun 1938. Lebih dikenali dengan cara melukis terus menerus dengan cat air pemandangan dan kehidupan penduduk, yakni tidak di dalam studio, beliau telah diberi penghormatan pameran retrospektif di Muzium dan Galeri Seni Negeri Pulau Pinang dan di Balai Seni Lukis Negara Malaysia.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran
  • Lukisan Yong Mun Sen ini bersifat monokromatik, atau satu warna sahaja yang dominan. Apakah warna yang dominan itu? Kenapa pelukisnya memilih warna itu? Apakah makna warna tersebut bagi lukisan ini? Kalau beliau menggunakan warna lain, adakah hal itu akan menjejaskan lukisan ini? Kenapa?

  • Teliti para perempuan di dalam lukisan tersebut? Bagaimanakah kehidupan mereka? Adakah mereka gembira dengan hidup mereka? Apakah hubungan mereka? Apakah petanda-petanda yang ada untuk menjawab soalan-soalan ini?

  • Lukisan Yong Mun Sen ini memaparkan adegan orang yang sedang bekerja di sebuah kampung di Malaya pada awal abad ke-20. Apakah perbezaannya dengan orang yang bekerja di Kuala Lumpur pada hari ini? Lakarkan atau lukiskan sebuah gambar yang memaparkan seseorang sedang bekerja di Kuala Lumpur pada hari ini. Jawab gaya monokromatik beliau tetapi pilih satu warna yang mencerminkan kehidupan bekerja pada hari ini.