Art Detail | Ilham Gallery
Elephant 13
 TAMBAH KE ALBUM
Elephant 13
2015

Lukisan berunsur geometri ini adalah satu daripada tujuh puluh lapan panel catan instalasi dinding bertajuk ‘Elephant Utopia’ (Utopia Gajah). Ia terdiri dari siri bentuk geometri bertona biru, merah jambu, merah dan hijau yang digabung dan diulang dalam grid petak. Setiap grid mempunyai empat corak yang setiap satunya diulang sebanyak empat kali dalam komposisinya. Lukisan ini dibina dari asas titik-titik kebiruan, yang terlihat pada kawasan garisan pelekat. Ruang kosong diwarnakan menjadi bentuk tiga segi di atas setiap petak, selepas pelekat ditanggalkan dan mendedahkan lapisan asas di bawahnya, lalu membentuk garisan grid biru yang bersilang.

Pertimbangan perkadaran lazim dan geometri oleh Haffendi Anuar pertama kali muncul dalam pameran solonya yang pertama ‘M13’ pada 2013, di Kuala Lumpur. Dalam siri terdahulu ini, gabungan lukisan yang diilhamkan oleh abstraksi Konstruktivis dan karya ‘berasaskan objek’ digunakan sebagai ‘gambaran tidak langsung’ struktur ibu kota Kuala Lumpur. Tujuan beliau ialah untuk mewujudkan suatu suasana di mana pelawat boleh mengalami pengalaman seorang flaneur merayau di bandar tanpa tujuan. Siri Elephant Utopia (2015) adalah sambungan tema ini, kali ini dipapar sepanjang dinding galeri dalam susunan panel modular mirip latar langit kota raya bercorak abstrak. Elephant Utopia meneruskan idea M13 bukan saja dalam pengalaman merayau bandar itu sendiri, tetapi lebih khususnya mengalami bentuk kawasan bandar yang kurang maju dan lebih miskin. Bahasa formalis modenisme abstrak (satahan dan ulangan), digabungkan dengan unsur geometri seni Islam, diutamakan dalam landskap kota begini. Pelukis mungkin berhasrat gubahan demikian boleh membayangkan kekisi logam pada pintu dan tingkap yang melindungi kediaman di kawasan Kuala Lumpur yang kurang mewah, di mana terletak studio beliau sendiri. Karya Gajah 13 dan karya-karyanya yang sama mungkin boleh dianggap sebagai percubaan artis untuk mengkaitkan idea kemajuan moden dengan realiti ketidaksamaan, justeru muka kemajuan dan bandar membangun menjadi simbol mencolok mata yang akhirnya tidak bermakna.

Maklumat
Media:
Cat minyak dan enamel atas papan MDF
Dimensi:
80 x 80 x 3 cm
Tarikh:
2015
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Haffendi Anuar
Tentang Haffendi Anuar

Haffendi Anuar (l. 1985) mula belajar di Rhode Island School of Design, Providence, USA, sebelum mendapat ijazah BFA daripada Central Saint Martins College of Art and Design dan MFA daripada Ruskin School of Art, Oxford University, England. Karyanya kini tertumpu pada ‘kain pelikat’. Dengan berkonteks kenangan zaman kanak-kanaknya, kajiannya tentang ikonografi pakaian ini meliputi foto keluarga, gambar arkib, imej di Internet dan teks tentang Malaysia yang ditulis oleh penulis kolonial yang mengkaji asal-usul dan peranan sosial fabrik ini, serta corak dan struktur visualnya. Daripada bahan yang dikutip, dia membayang semula fabrik ini sebagai ‘binaan’ yang diilhamkan daripada seni bina buatan manusia dan haiwan. Proses karyanya merangkumi kolaj, celupan warna, lukisan, pindahan imej dan jahitan.

Bacaan Selanjutnya

  • Haffendi Anuar, “Info”, https://www.haffendianuar.net/info . CV artis.

  • Haffendi Anuar: Elephant Utopia (Kuala Lumpur: Richard Koh Fine Art, 2015). Katalog pameran.

  • Haffendi Anuar: M13 (Kuala Lumpur: Richard Koh Fine Art, 2013). Katalog pameran.

Bahagian Pembelajaran

  • Berapa banyak petak yang dapat anda lihat dalam lukisan ini? Berapa banyak segi tiga yang anda lihat? Bagaimanakah cara pelukis ini menghasilkan reka bentuk tersebut? Adakah dia melukis petak atau segi tiga terlebih dahulu? Apa kata anda salin karya ini untuk memahami dengan lebih baik proses yang dilakukan oleh pelukis tersebut.

  • Kenapa pelukisnya menamakan karya ini sebagai Elephant 13? Adakah judul tersebut mengubah cara pandang anda terhadap karya tersebut?

  • Seni dan matematik sering dipandang secara bertentangan. Namun, ramai seniman yang meneroka kesalingtindihan antara dua bidang ini. Kedua-duanya saling mencari corak dan hubungan. Apakah corak yang anda nampak dalam karya ini? Kembangkan karya ini dengan menambahkan tiang di bahagian kanan dan kiri. Kemudian, tambahkan baris di atas dan di bawah.

  • Bagaimanakah cara seniman ini menggunakan warna dalam karya ini? Apakah warna-warna yang beliau gunakan dan kenapa? Apakah pentingnya warna terhadap proses penciptaan corak? Bolehkah anda hasilkan satu corak baharu dengan menambahkan warna dengan cara yang berbeza?