Art Detail | Ilham Gallery
Jawi dan Alam I
 TAMBAH KE ALBUM
Jawi dan Alam I
2011

Dipandang sepintas lalu, karya Jawi dan Alam I kelihatan memaparkan sebuah pemandangan yang tenang. Sebuah pulau yang hijau dan subur diletakkan di tengah-tengah lautan berwarna-warni – biru, merah, hijau kebiruan dan ungu. Apabila dipandang dengan lebih dekat, tanda-tanda berunsur kaligrafi atau khat dapat dilihat dicoret di atas cat di sekeliling pulau itu dan juga pada dedaun tumbuh-tumbuhan. Ahmad Khalid Yusof merupakan pelukis yang mempelopori penggunaan seni khat serta ikonografi Islam dan Melayu tradisional dalam karya lukisannya – satu kaedah yang kemudian beliau kembangkan dalam siri karyanya yang amat berpengaruh bertajuk Alif Ba Ta dan terus beliau gunakan sepanjang kerjayanya sebagai pelukis. Sekitar waktu inilah beliau mula meninggalkan teknik dan pengaruh seni lukis Barat yang diterima dan diamalkan oleh ramai pelukis tempatan. Beliau berasa bertanggungjawab untuk menggali semula jatidiri Melayu dan kerohanian. Menerusi penggunaan tulisan Jawi yang digabungkan dengan motif-motif ekspresif dan abstrak, Ahmad Khalid dapat meletakkan seninya dalam konteks dunia umat Islam yang lebih luas.

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
90.5 x 90.5 cm
Tarikh:
2011
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ahmad Khalid Yusof
Tentang Ahmad Khalid Yusof

Ahmad Khalid Yusof (1934–1997, Kuala Lumpur, Malaysia) merupakan lulusan daripada Maktab Latihan Guru Malaya di Kirby, Liverpool pada tahun 1957 dan kemudian mengikuti kursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur pada tahun 1963. Beliau melanjutkan pengajiannya di Winchester Art School dari tahun 1966 hingga 1969 dan menamatkan ijazah Sarjana Seni Halus di Universiti Ohio pada tahun 1976. Selepas pulang ke Malaysia, beliau mengajar di Institut Teknologi Mara dari tahun 1970 hingga 1989, dengan jawatan terakhir sebelum bersara sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik. Selaku perintis penggunaan seni khat Islam dalam seni rupa moden Malaysia, allahyarham Ahmad Khalid menggabungkan permainan teks secara ekspresionis dengan medan-medan warna yang terang sebagai cara untuk merayakan Kata. Beliau menjadi pengarah Galeri Seni Shah Alam dari tahun 1991 hingga 1997, presiden Persatuan Pelukis Malaysia (PPM) dan penulis undangan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Cari lima kata sifat yang mencerminkan lukisan ini. Apakah warna-warna yang anda lihat dalam lukisan ini? 

  • Terangkan tentang bayang-bayang biru dan hijau yang seniman ini gunakan. Apakah warna-warna lain yang beliau gunakan dan di mana? 

  • Apakah garisan, bentuk dan tekstur yang anda nampak? Dapatkah anda lihat kaligrafi tersebut? Bolehkah anda baca? Adakah kaligrafi ini penting?