Art Detail | Ilham Gallery
Marista "Kemudi Patah"
 TAMBAH KE ALBUM
Marista "Kemudi Patah"
2001

Catan besar yang menggunakan media campuran ini sebahagian besarnya dipenuhi dengan blok-blok warna kelabu yang cerah dan sebuah bentuk segi empat tepat berwarna hitam menganjur dari bahagian bawah di sebelah kiri. Bentuk berwarna kelabu keluli ini – menyerupai bentuk kemudi bot yang rata dan lebar – menjadi terpecah-pecah dan lebih berwarna-warni apabila ia bergerak ke atas dan tengah kanvas. Warna jingga terang yang dicoret di celah-celah blok-blok monokromatik itu mengingatkan kita kepada bahagian isi dalam siput kemudi.

Siri Alun-alun ke Marista (1996–2002) oleh Awang Damit mengandungi 70 buah catan minyak dan dianggap sebagai sambungan kepada siri pertama beliau, Essence of Culture. Kedua-dua siri ini memfokuskan pada perjalanan hidup Awang Damit, terutamanya ketika zaman kanak-kanaknya. Karya-karya dalam siri ini memperlihatkan keseimbangan yang mantap antara figurasi dan abstraksi – elemen-elemen yang secara tidak langsung merepresentasi alam flora dan fauna serta pemandangan dan watak setempat dapat dikenal pasti ketika pelukis ini menyelongkar dan menggali memorinya mengenai budaya tradisional dan alam semula jadi yang pernah dialaminya sebagai anak nelayan. Mengikut kaedah melukis yang biasa beliau gunakan, komposisi, bentuk dan simbol yang dipaparkan di atas kanvas ini mencerminkan kedalaman pengetahuan serta pemerhatian telitinya terhadap bahan subjek.

Maklumat
Media:
Media campuran atas kanvas
Dimensi:
118.5 x 110 cm
Tarikh:
2001
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Awang Damit Ahmad
Tentang Awang Damit Ahmad

Awang Damit Ahmad (l. 1956, Kuala Penyu, Sabah, Malaysia) pertama kali melihat karya seni di Balai Seni Lukis Negara ketika berusia 21 tahun. Peristiwa ini mendorong beliau meninggalkan pekerjaannya di syarikat Telekom untuk mengikuti pengajian peringkat Diploma Seni Halus di Institut Teknologi MARA. Beliau menjalani latihan praktikal di St. Paul Hills di Melaka dan menamatkan pengajiannya dengan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Universiti Teknologi MARA pada tahun 1983. Pada tahun 1989, beliau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana dalam jurusan Seni Halus di Catholic University of America, Washington DC. Ini memberikan kesempatan kepadanya untuk mendapat pendedahan kepada pelbagai gaya seni dan kolektif seni seperti Arlington Art Group dan The Capitol Hill. Beliau terus menerus menggunakan gaya abstrak dalam semua siri karya yang dihasilkannya – Essence of Culture, Marista, Iraga, Payarama dan Garismega. Beliau pernah memenangi anugerah Bakat Muda Sezaman pada tahun 1992 dan hadiah Penghargaan Khusus (‘Honorable Mention’) dalam pertandingan Philip Morris Malaysia Art Awards.

Bacaan Selanjutnya
  • Alun-Alun Ke Marista: Awang Damit Ahmad 1996-- 2002 (Path to Marista). 2002. Kuala Lumpur: National Art Gallery.

  • Awang Damit Ahmad: Intipati Budaya - Essence of Culture (1989-1993). 1994. Shenn's Fine Art, Singapore.