Art Detail | Ilham Gallery
Perempuan Melayu & Anak (Orang Perempuan Series)
 TAMBAH KE ALBUM
Perempuan Melayu & Anak (Orang Perempuan Series)
2015

Barangkali imej stereotaip adalah watak yang kita terima sebagai mewakili diri kita sendiri. Pada masa yang sama, ekspresi yang mengungkap siapa diri kita mungkin boleh diperkembangkan lagi. Menerusi Orang-Orang (Perempuan), suatu siri potret lukisan arang saiz besar, Ahmad Zakii Anwar mencabar tanggapan biasa tentang identiti. Saiz besar potret-potret ini mengangkat orang biasa menjadi wira. Mereka tidak dikotakkan mengikut kaum tertentu, tetapi sebaliknya warna kaum yang selalunya menjadi faktor penentu kaum, ditiadakan. Kehalusan kemahiran pelukis, sebaliknya, menggambarkan keragaman rakyat Malaysia kini – makcik dengan payungnya, anak muda berbaju-T, ahli persatuan dengan pakaian seragamnya, dan sebagainya.

Maklumat
Media:
Arang atas kertas
Dimensi:
205 x 76 cm
Tarikh:
2015
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ahmad Zakii Anwar
Tentang Ahmad Zakii Anwar

Ahmad Zakii Anwar (l. 1955, Johor) merupakan lulusan dari Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA. Karyanya disanjungi kerana merakam bukan sahaja motif dan ciri bandar tetapi juga dimensi psikologi dan unsur sinematik suasananya. Keghairahan Zakii meneroka aspek spiritual atau metafizikal dalam kehidupan bandar boleh diperhatikan melalui pendekatannya menggunakan pelbagai jenis ikon, simbol dan alegori. Di antara pameran-pamerannya terkini ialah ‘Pleasure + Pain’ (2014) di Galerie Huit, Hong Kong, ‘Bones and Sinews'(2011) di Andrew Shire Gallery, Los Angeles, dan ‘Being’ (2009) di NUS Museum, Singapura. Siri karya beliau bertajuk Orang- Orang, yang dikembangkan di dalam pameran Menggambar Negara, pertama kali dipamerkan sewaktu Festival George Town di Pulau Pinang pada 2013.

Bahagian Pembelajaran

  • Setiap lukisan ini berketinggian 205 cm, sekali gus lebih besar dari saiz manusia biasa. Kenapa pelukis ini melukis lukisan-lukisan tersebut dengan saiz sedemikian? Pernahkah anda melihat potret-potret bersaiz sebegini? Selalunya, potret-potret bersaiz besar sebegini adalah potret-potret pemimpin ataupun raja.

  • Dalam siri potret ini, pelukis memaparkan kepada kita hanya beberapa orang rakyat Malaysia. Siapakah yang dia pilih? Apakah yang dicerminkan oleh orang-orang ini? Kumpulan masyarakat manakah pula yang tidak dilukiskan? Bandingkan karya ini dengan karya Run Malaysia Run oleh Vincent Leong. Apakah persamaan-persamaan dan perbezaan-perbezaannya? Karya yang mana satu lebih mewakili Malaysia?