Art Detail | Ilham Gallery
Puisi Semalam Setandan Pisang
 TAMBAH KE ALBUM
Puisi Semalam Setandan Pisang
2006

Sebuah sajak ciptaan pelukis sendiri, yang merakamkan suasana hari hujan di kampung, ditulis di atas lukisan ini. Sajak itu sarat dengan rasa rindu – Jalaini, atau lebih dikenali sebagai Jai, menulis tentang perasaan menunggu matahari muncul selepas hujan turun berterusan sepanjang hari, serta keresahan keluarganya menanti khabar berita dari seorang abang yang berada di luar negara. Peredaran masa diungkapkan menerusi setandan pisang yang masak, manakala beranda dan sangkar burung yang kosong menggambarkan perasaan kehilangan dan kekosongan. Penggunaan bitumen menghasilkan warna sepia pada karya ini, lalu membangkitkan suasana kenangan dan nostalgia. Seperti dalam kebanyakan lukisan Jalaini, imej-imej ini diilhamkan daripada memori beliau ketika membesar di pekan-pekan kecil dan kampung-kampung di Malaysia.


Sajak:


Hujan sehari suntuk seperti 

Tidak mahu mengalah. Pelantar dapur 

Semakin rapuh dimakan bubuk

Tiang seri berdiri sunyi sepi 

Menanti matahari jenguk lagi 

Kami betiga menanti sampai pagi 

Berita abang dari seberang 

Dalam rindu bukan 

kepalang. 


Maklumat
Media:
Cat minyak dan bitumen atas kanvas
Dimensi:
137 × 130 cm
Tarikh:
2006
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Jalaini Abu Hassan
Tentang Jalaini Abu Hassan

Jalaini Abu Hassan (l. 1963, Selangor), lebih dikenali sebagai Jai, merupakan seorang pelukis kontemporari dan pensyarah Malaysia yang terkenal. Karya-karya ciptaan beliau bermain dengan masa dan sejarah peribadi, dan selalunya menimba inspirasi daripada kenangan-kenangan pada zaman kanak-kanaknya ketika membesar di sebuah kampung di Taiping, Perak. Jai dikenali ramai menerusi penggunaan bitumen yang menghasilkan warna sepia sehingga menimbulkan suasana nostalgia pada karya-karya beliau. Beliau menerima ijazah Sarjana Muda dari Institut Teknologi MARA (UiTM), yang juga tempat beliau mengajar sekarang, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang seni di Slade School of Fine Art di London dan Pratt Institute di New York. Beliau telah mengadakan banyak pameran solo di Malaysia dan juga beberapa di Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat. Karya-karya beliau terdapat dalam koleksi Balai Seni Negara dan pelbagai koleksi peribadi.

Bacaan Selanjutnya

  • Ooi, Adeline and Yong, Beverly. “From Paddy Fields to Fake Plastic Palm Trees: Negotiating a Changing Social Landscape.” In Narratives in Malaysian Art, vol. 1, edited by Nur Hanim Khairuddin and Beverly Yong, 96–113. Kuala Lumpur: RogueArt, 2012.

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang anda lihat dalam lukisan ini. Apakah objek-objek yang ada dalam lukisan tersebut? Apakah warna-warna yang digunakan? Terdapatkah warna-warna yang lebih dominan? Kenapa? Terangkan pula tentang garis-garis yang digunakan oleh seniman ini? Bagaimanakah objek-objek dalam lukisan ini disusun? 

  • Apakah petanda-petanda yang boleh menjelaskan asal-usul seniman ini? Kenapakah seniman ini memasukkan puisi di dalam lukisan ini?

  • Ramai seniman menggunakan buah-buahan sebagai salah satu cara untuk mengenali identiti mereka. Bandingkan karya ini dengan karya hidupan pegun Georgette Chen. Apakah persamaan dan perbezaan yang terdapat di dalam kedua-dua karya tersebut?