Art Detail | Ilham Gallery
The Marriage of Sultan Mansor Shah
 TAMBAH KE ALBUM
The Marriage of Sultan Mansor Shah
1991

Karya catan figuratif berukuran besar ini, yang disiapkan beberapa hari sebelum Ismail Zain meninggal dunia pada usia yang agak muda, menggambarkan salah satu daripada lima perkahwinan Sultan Mansor Shah sepanjang pemerintahan baginda di Melaka dari tahun 1459 hingga 1477. Penjalinan hubungan strategik melalui perkahwinan adalah sesuatu yang lazim dilakukan pada zaman itu demi mengukuhkan penguasaan negara. Sultan Mansor Shah pernah berkahwin dengan Puteri Majapahit dan juga Hang Li Po, kononnya seorang puteri dari dinasti Ming di China. Dalam karya ini, Baginda dan Permaisuri dipaparkan di hadapan pelamin yang penuhi hiasan, iaitu satu elemen yang ada dalam majlis perkahwinan tradisional orang Melayu di samping pemain kompang dan bunga manggar. Motif-motif bunga dan hiasan, satu ciri yang sentiasa hadir dalam catan-catan Ismail Zain pada dekad 1980-an, dapat dilihat di beberapa bahagian lain dalam karya ini. Dengan menggunakan teknik cetakan saring sutera dan kolaj, beliau menampilkan gambar-gambar foto bunga seri pagi dan corak-corak lace-doily dengan berlatarbelakangkan simbol-simbol geometrik dari potongan grid serta jalur-jalur warna yang dilukis secara terkawal bagi menggambarkan pertembungan yang wujud antara budaya tradisional dan keadaan moden.

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
152 x 121 cm
Tarikh:
1991
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ismail Zain
Tentang Ismail Zain

Ismail Zain (1930–1991) dilahirkan di Kedah, Malaysia. Beliau merupakan salah seorang pelukis, penulis dan pendidik yang paling dihormati di Malaysia, dan juga pelopor seni komputer di negara ini. Beliau berangkat ke London pada tahun 1960-an untuk melanjutkan pengajian seni di Ravensbourne College of Art dan Slade School of Fine Art, University College London. Sekembalinya ke Malaysia, selain menjadi pelukis, beliau turut memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan yang berkait dengan pentadbiran seni. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Ketua Pengarah Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Minat dan eksperimentasi beliau dengan teknologi-teknologi baharu telah mendorongnya mengadakan sebuah pameran penting bertajuk Digital Collage pada tahun 1988. Pameran ini menandakan kemunculan kepentingan seni media baharu di negara ini. Selepas beliau meninggal dunia, Balai Seni Lukis Negara menganjurkan dua buah pameran retrospektif untuk beliau: yang pertama pada tahun 1995 dan yang kedua pada tahun 2019.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan tentang susun atur lukisan ini. Apakah yang ada di latar depannya? Apakah pula yang terdapat di latar tengah? Bagaimana pula dengan latar belakang? Adakah ianya setangkup? Apakah perbezaan antara bahagian kiri dan bahagian kanan lukisan ini? Apakah persamaan-persamaannya? Apakah elemen yang mengisi sebahagian besar lukisan ini? Apakah pula titik tumpuannya? Betulkah?

  • Terangkan tentang figura-figura yang anda lihat di dalam lukisan ini. Apakah bukti-bukti yang menunjukkan bahawa persandingan ini merupakan persandingan diraja? Adakah anda pernah lihat potret-potret raja? Apakah perbezaannya dengan potret ini? Apakah sebab-sebab perbezaannya? Adakah anda rasa Sultan tersebut menyukai lukisan ini? Kenapa? Bagaimana pula dengan permaisurinya?

  • Setiap kebudayaan memiliki tradisi perkahwinannya tersendiri. Apakah elemen-elemen di dalam lukisan ini yang membuktikan bahawa perkahwinan ini adalah perkahwinan Melayu? Apakah perkara-perkara lain yang boleh dimasukkan untuk menjadikannya sebuah perkahwinan Melayu? Apakah perbezaannya dengan perkahwinan masyarakat Cina? Bagaimana pula dengan perkahwinan bagi penganut agama Hindu? Apakah elemen-elemen yang dimiliki oleh semua tradisi perkahwinan?