Art Detail | Ilham Gallery
Paris
 TAMBAH KE ALBUM
Paris
1959

Lukisan ini dihasilkan pada tahun 1959 ketika Chia Yu Chian sedang belajar di Ecole Nationale Superieure des Beaux Arts di Paris. Pelukis ini tinggal di sebuah studio yang terletak di kawasan Latin Quarter di Paris dan pemandangan yang dipaparkan dalam lukisan ini – landskap kota Paris yang dibayangi menara-menara Katedral Notre-Dame yang ikonik itu – kemungkinan besar ialah pemandangan yang dilihat dari studionya. Warna biru dengan sedikit calitan warna jingga menggambarkan hari yang dingin pada musim sejuk di Paris. Terpengaruh dengan gerakan Fauvisme semasa beliau tinggal di Paris, Chia menggunakan warna-warna terang yang bukan naturalistik dengan sapuan berus yang kecil-kecil dan terpisah-pisah untuk menggambarkan sensasi cahaya dan bayang-bayang. Dalam lukisan ini Chia merakamkan keindahan sebuah kota yang telah menginspirasikan begitu ramai pelukis, daripada Gauguin sampailah kepada Degas.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
50 x 63.5cm
Tarikh:
1959
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Chia Yu Chian
Tentang Chia Yu Chian

Chia Yu Chian (1936–1990) dilahirkan di Kota Tinggi, Johor, Malaysia. Ketika kanak-kanak, beliau bersekolah di Malaysia dan juga Singapura. Semasa di Singapura, beliau mengikuti kelas seni persendirian dengan pelukis Chen Wen Hsi yang ketika itu mengajar di Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA). Walaupun beliau bukanlah pelajar sepenuh masa di NAFA, Chia terdedah kepada pengaruh pengajaran di Akademi tersebut serta pelukis-pelukis Nanyang yang lain seperti Cheong Soo Pieng. Chia menjadi pelukis Malaya yang pertama menerima biasiswa Kerajaan Perancis untuk belajar seni di Ecole Nationale Superieure des Beaux Arts di Paris pada tahun 1959. Ketika tinggal di Paris, beliau membuka sebuah studio dan turut terlibat dalam pelbagai pameran. Apabila beliau pulang ke Malaya pada tahun 1962, Chia mengadakan pelbagai pameran solo dan terlibat dalam banyak pameran berkumpulan di Malaysia dan juga luar negara.

Bacaan Selanjutnya

  • Chia Yu Chian: Private Lives catalogue, ILHAM Gallery

  • Martin A Bradley, Intimations of Chia Yu Chian (article) from catalogue of Chia Yu Chian Enlivened exhibition. Published by Chia Yu Chian Art Gallery, 2017.

Bahagian Pembelajaran

  • Judul lukisan ini menjelaskan kepada kita bahawa lukisan ini adalah lukisan di Paris. Apakah yang diperhatikan oleh seniman ini tentang kota Eropah tersebut melalui perspektifnya sebagai rakyat Malaysia? Apakah perincian-perincian kota yang digambarkan oleh lukisan ini? Apakah perincian-perincian lain yang tidak dimasukkan?

  • Apakah warna yang paling dominan di dalam lukisan ini? Kenapa seniman ini memilih warna-warna tersebut? Apakah kesannya terhadap angin (mood) lukisan itu?

  • Bolehkah anda jelaskan tentang cara seniman ini menggunakan warna? Apakah tanda-tanda yang beliau hasilkan? Bagaimana beliau menggambarkan nada? (cerah dan gelap)? Bagaimana beliau menggunakan garisan?