Art Detail | Ilham Gallery
Return from the Sea
 TAMBAH KE ALBUM
Return from the Sea
1963

Lukisan oleh pelukis dari angkatan kedua Nanyang ini, Cheah Yew Saik, menunjukkan sekumpulan nelayan baru pulang dari menangkap ikan. Citra manusia diolah dengan cara yang tidak bulat-bulat meniru manusia sebenar; kaedah yang biasa ditemui pada lukisan bergaya Nanyang. Bentuk badan seperti ini dilukis bagi menunjukkan kegiatan manusia sebagai sebahagian daripada pemandangan tempatan dan bukannya untuk cuba menghasilkan keserupaan dengan alam nyata. Pada tahun 1963, tahun lukisan ini dihasilkan, negara Malaysia baru sahaja dibentuk. Dalam lukisan Yew Saik ini, nelayan-nelayan dengan pelbagai tona kulit menggambarkan sekumpulan orang dari kaum-kaum berbeza sedang bekerja bersama-sama dalam suasana rukun dan damai. Karya ini mungkin membayangkan gagasan tentang Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai budaya dan kaum dan mempunyai kemakmuran ekonomi yang boleh dinikmati bersama-sama oleh semua rakyat.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
53 × 89 cm
Tarikh:
1963
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Cheah Yew Saik
Tentang Cheah Yew Saik

Cheah Yew Saik (l. 1939, Kedah) tergolong dalam pelukis Nanyang angkatan kedua di Malaysia. Beliau menamatkan pengajian di Nanyang Academy of Fine Arts pada tahun 1961 dan kemudiannnya di Stoke-on-Trent College of Arts, England pada tahun 1965. Selepas kembali ke Malaysia, Yew Saik, yang begitu berminat dengan pendidikan seni, menubuhkan Penang Art School pada tahun 1966 tetapi sekolah ini tidak bertahan lama. Pada tahun 1968, beliau menubuhkan pula sebuah lagi sekolah, iaitu Kuala Lumpur College of Art. Beliau menjadi pengetua KLCA sehingga tahun 2002. Sepanjang kerjayanya yang panjang, beliau pernah mengadakan pameran solo di Malaysia, Thailand, Singapura, Hong Kong dan Australia. Karya beliau dapat ditemui dalam koleksi Balai Seni Negara, Muzium Seni Kedah, Bank Negara Malaysia, Soka Gakkai Malaysia dan Petronas.

Bacaan Selanjutnya
  • Nur Hanim Khairuddin and Beverly Yong, eds. Narratives in Malaysian Art vol. 1. Kuala Lumpur: RogueArt, 2012.

Bahagian Pembelajaran

  • Berapa ramaikah figura yang ada dalam gambar ini? Dalam lukisan ini, Cheah Yew Saik menggunakan figura yang digayakan. Apakah elemen-elemen figura manusia yang beliau masukkan? Apa pula yang beliau tidak masukkan? Apakah perbezaan-perbezaan yang ada antara figura-figura tersebut? Apakah angin (mood) dan hubungan antara figura-figura ini? Teks karya ini menerangkan bahawa karya ini dihasilkan pada tahun Malaysia ditubuhkan. Adakah maklumat ini mengubah pentafsiran anda terhadap lukisan tersebut? Adakah anda bersetuju dengan pentafsiran yang dibuat oleh teks tersebut? Apakah bukti-bukti yang boleh digunakan untuk menyokong pentafsiran tersebut?

  • Penangkapan ikan terus menjadi industri yang penting di Malaysia. Apakah pemandangan sebegini masih sama pada hari ini? Sejauh mana perubahan yang sudah terjadi sejak lukisan ini dihasilkan? Apakah kerugian dan kelebihan yang dibawa oleh perubahan-perubahan ini kepada masyarakat setempat?