Art Detail | Ilham Gallery
Rumah Rakit
 TAMBAH KE ALBUM
Rumah Rakit
1995

Rumah rakit dibuat daripada buluh dan bahan-bahan lain yang boleh terapung di atas sungai. Rumah ini biasanya merupakan struktur sementara yang dibina secara haram oleh keluarga yang mungkin tidak berkemampuan untuk membeli atau menyewa rumah. Dalam karya ini, kita dapat melihat beberapa buah rumah rakit yang dibina tersusun dalam barisan yang menghala ke arah kaki langit dan puncak sebuah gunung kelihatan di kejauhan. Ketenangan sungai yang berlumpur dan kehijauan dedaunan sangat berbeza daripada keadaan rumah-rumah berdinding papan yang dipasang tidak sekata dan beratap zink yang berkarat. Di sebelah kanan, seorang wanita hendak menyeberangi jambatan kayu yang goyah yang menghubungkan rumahnya dengan tebing sungai. Dia salah seorang daripada ramai orang yang diam-diam tinggal di dalam rumah-rumah sementara ini yang terletak jauh dari masyarakat.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
61 × 76 cm
Tarikh:
1995
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Md Sani Md Dom
Tentang Md Sani Md Dom

Md Sani Md Dom (l. 1944, Melaka – m. 2019, Selangor) merupakan seorang pelukis yang belajar sendiri dan dikenali kerana karya-karyanya yang memaparkan pemandangan kehidupan desa yang tenang dan terpencil yang dilukis dengan gaya realisme. Beliau merupakan salah seorang ahli Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) yang terkenal dan mahir melukis dengan cat minyak dan cat air. Beliau juga pernah menjadi pengerusi dan kemudiannya presiden Persatuan Cat Air Malaysia dari tahun 1992 hingga 1997. Karya-karya beliau telah dipamerkan di Thailand, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Sweden, India dan Jordan. Balai Seni Negara mengadakan pameran retrospektif untuk beliau pada tahun 2011 sebagai tanda penghormatan kepada beliau.

Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan tentang lukisan ini seperti anda menerangkannya kepada orang buta. Apakah titik tumpuan bagi lukisan ini? Apakah yang anda lihat di latar depannya? Apakah yang anda lihat di latar belakangnya? Apakah warna-warna yang ada di dalam lukisan ini? Apakah warna-warna yang lebih dominan? Apakah elemen-elemen yang paling ditekankan oleh pelukis ini? Apakah maklumat tentang wanita itu yang pelukis kongsikan kepada kita? Seberapa pentingkah wanita itu dalam susun letak lukisan ini secara keseluruhan? Apakah suasana yang terpancar dari lukisan ini?

  • Milik siapakah sungai-sungai tersebut? Siapakah yang berhak untuk menggunakannya? Siapakah yang berhak untuk menyusurinya? Siapakah yang berhak menangkap ikan di dalamnya? Siapakah yang berhak untuk tinggal di atasnya? Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kebersihan sungai kita? Jika orang tidak mampu untuk menyewa atau membeli rumah, patutkah mereka dibenarkan untuk tinggal di atas air? Apakah risiko atau cabaran yang mungkin dihadapi jika perkara ini dibenarnya berlaku? Jika tidak, apa yang perlu mereka lakukan? Menurut anda, bagaimanakah seniman ini akan menjawab soalan-soalan tersebut?