Art Detail | Ilham Gallery
Untitled (Malaysians – The Shell Commission)
 TAMBAH KE ALBUM
Untitled (Malaysians – The Shell Commission)
1963

Pada tahun 1963, Syarikat Shell Malaysia membuat keputusan menerbit sebuah buku khas berjudul ‘Malaysians’ sempena pembentukan negara Malaysia. Hoessein Enas diberi pesanan menghasilkan 52 buah lukisan yang menggambarkan masyarakatnya. Permintaan ini berjaya dipenuhi dalam masa tujuh bulan. Siri ini memperlihatkan sebahagian masyarakat penduduk Malaysia, daripada individu yang mencerminkan kemajmukan budaya di negara kepada yang mewakili institusi moden di Malaysia seperti pasukan polis. Pilihan lukisan dan lakaran ini menampakkan kepentingan tempahan dalam sejarah seni lukis Malaysia. Secara keseluruhan, karya-karya ini mencerminkan hasrat dan harapan sebuah negara yang baharu dan bersatu.

Maklumat
Media:
Lakaran pensel atas kertas
Dimensi:
35 x 25 cm
Tarikh:
1963
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Hoessein Enas
Tentang Hoessein Enas

Hoessein Enas (1924-1995) tiba di Malaya dari Indonesia pada 1947. Reputasinya sebagai pelukis potret beraliran realisme akademik semakin terserlah selepas Kemerdekaan Malaya pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, negara yang akhirnya beliau anggap sebagai tanah airnya. Pada 1956, beliau menjadi ahli dan sekali gus pengasas Angkatan Pelukis Semenanjung, sebuah persatuan pelukis yang penting dalam sejarah perkembangan aktiviti kesenian tanah air sekitar era Kemerdekaan. Pada 1963, syarikat Shell menaja pengembaraannya ke seluruh pelusuk negara bagi tujuan menghasilkan sebuah siri lakaran dan lukisan untuk memperingati pembentukan Malaysia. Pada 1990, Hoessein Enas dianugerahkan status ‘Pelukis Diraja’ oleh DYMM Sultan Selangor.

Bacaan Selanjutnya

  • Dato’ Hoessein Enas: From His Personal Collection, Rahel Joseph and Nur Hanim Khairuddin, eds., Kuala Lumpur: ILHAM, 2015.

  • Menemui Moderniti: 40 tahun Angkatan Pelukis Se-Malaysia, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, 1998.

  • Tan Chee Khuan, The Life and Art of Dato’ M. Hoessein Enas, Penang Art Gallery, 1999.

Bahagian Pembelajaran
  • Penerangan tersebut menjelaskan kepada kita bahawa karya ini merupakan sebahagian daripada karya yang diupah oleh Shell Company pada tahun 1963. Judulnya Malaysians. Seniman ini cuba merakamkan masyarakat Malaysia bersempena meraikan penubuhan bangsa ini. Siri karya ini dihasilkan pada tahun 1963. Sejauh mana perubahan yang telah berlaku kepada Malaysia sejak 60 tahun dahulu? Sejauh manakah pula rakyat Malaysia sudah berubah? Apakah yang tidak berubah? Potret siapakah yang anda ingin lukiskan bagi mencerminkan perubahan-perubahan yang telah terjadi kepada Malaysia sejak penubuhannya?

  • Adakah lukisan ini siap? Menurut anda, adakah pelukisnya berniat untuk mempamerkan karya ini di galeri? Apakah tujuan beliau melukis lukisan itu? Patutkah galeri mempamerkan hasil kerja yang belum siap? Adakah galeri perlu mempamerkan hasil kerja yang sudah siap sahaja?