Art Detail | Ilham Gallery
Bitumanic Depression Case Study #1
 TAMBAH KE ALBUM
Bitumanic Depression Case Study #1
2009

The Thinker merupakan arca ikonik yang dihasilkan oleh seniman Perancis, Auguste Rodin. Diilhamkan daripada bahagian Inferno dalam puisi Divine Comedy oleh Dante, figura dalam keadaan termenung ini pada asalnya dibayangkan duduk di atas Pintu Neraka sambil memerhati dan merenung orang-orang yang diseksa di bawah. Dalam karya lukisan ini, Ahmad Fuad memaparkan figura misteri tersebut dengan latar belakang yang luas, gelap dan menggerunkan, sambil sebuah kilang mengeluarkan asap toksik yang tebal. Cat bitumen amat sesuai dipakai untuk karya ini kerana ia digunakan secara meluas sebagai bahan penebat cuaca di kilang atau tapak binaan. Latar belakang yang kelam dan suram meliputi hampir keseluruhan kanvas, dengan jalur-jalur titisan cat yang berbeza-beza menimbulkan kesan seakan kikisan dan hakisan. Sementara itu, sejalur langit cerah terbentang di atas kaki langit di kejauhan. Figura itu duduk di tengah-tengah lukisan yang serba mengganggu ini, seolah-olah bersemuka dengan penonton seraya memikirkan peranan yang mereka mainkan berhubung dengan kemusnahan yang berlaku pada masa kini akibat tindakan dan perbuatan manusia.

Maklumat
Media:
Akrilik dan bitumen atas kanvas
Dimensi:
183 x 183 cm
Tarikh:
2009
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ahmad Fuad Osman
Tentang Ahmad Fuad Osman

Dilahirkan pada tahun 1969 di Kedah, Ahmad Fuad Osman merupakan seorang seniman multi-disiplin yang terkenal dan kebanyakan karyanya berbentuk instalasi dan catan. Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang Seni Halus di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) pada tahun 1991, beliau menjadi salah seorang pengasas MATAHATI, sebuah kolektif seni yang memainkan peranan penting dalam arena seni kontemporari di Malaysia pada akhir dekad 1990-an. Karya-karya beliau sering membawa tema-tema sosio-politik seperti kuasa, politik identiti dan kelupaan sejarah. Salah sebuah karya penting beliau ialah Recollections of Long Lost Memories yang memenangi anugerah Pilihan Juri dalam pertandingan APBF Signature Art Prize yang diadakan di Singapore Art Museum pada tahun 2008. Beliau telah berpameran di pelbagai negara, dan antara beberapa pameran terbaharu yang beliau sertai ialah PRIMITIVE di Galeri A+ Works of Art, Malaysia (2018); Singapore Biennale: An Atlas of Mirrors di Singapore Art Museum (2016–2017); Multiple Languages di Galeri Silverlens, Makati, Manila, Filipina (2014); dan Welcome to the Jungle: Contemporary Art in Southeast Asia From the Collection of Singapore Art Museum di Yokohama Museum of Art, Jepun, (2013). Beliau tinggal dan berkarya di Bali, Indonesia dan Kuala Lumpur, Malaysia.

Sumber: A+ Works of Art

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Penerangan tersebut menjelaskan kepada kita bahawa karya ini terinspirasi daripada “The Thinker”, sebuah arca terkenal yang dihasilkan oleh Auguste Rodin. Apakah yang sedang difikirkan oleh figura tersebut? Terangkan hubungan antara figura tersebut dengan latar belakangnya.

  • Seniman ini menggunakan bitumen bagi menghasilkan warna kelabu coklat di bahagian latar belakang karya tersebut. Bitumen merupakan sejenis produk tahan cuaca. Kenapakah seniman ini menggunakan bahan itu?

  • Bandingkan karya seni ini dengan karya Ahmad Fuad Osman yang lain iaitu Thinker. Apakah persamaan-persamaannya? Apakah pula perbezaan-perbezaannya? Kenapakah wujudnya perbezaan-perbezaan ini? Adakah kedua-dua lukisan tersebut memiliki mesej yang sama atau berbeza? Lukisan manakah yang lebih menggambarkan mesej yang ingin disampaikan oleh seniman ini?