Art Detail | Ilham Gallery
Burung Putih Terbang Malam
 TAMBAH KE ALBUM
Burung Putih Terbang Malam
2006

Dua ekor burung putih terbang di angkasa sepanjang malam, dikelilingi pusaran coret-coret serupa huruf kursif dan tanda diakritik abjad Arab. Rujukan abjad ini diguna oleh Siti Zainon sebagai bentuk ekspresi dan stail, seolah-olah bermain dengan bentuk huruf dan caligrafi. Beliau seorang penulis dan juga artis, dan lukisan ini menampakkan gabungan unsur kedua-dua bentuk seni ini. Apa erti perlambangan ‘burung’ di sini? Mungkinkah ia merujuk kepada  burung mitos phoenix atau Anqa’ yang dikatakan lahir semula daripada abu kebakaran dirinya sendiri? Burung merpati yang dikaikan dengan kedamaian? Atau adakah ianya merujuk kepada sajak ‘Merpati Putih, Jelajahi Dunia’ oleh Usman Awang?

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
105 × 99.5 cm
Tarikh:
2006
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Siti Zainon Ismail
Tentang Siti Zainon Ismail

Siti Zainon Ismail (lahir 1949, Selangor) ialah seorang penulis, penyair dan pelukis. Beliau dipilih sebagai Sasterawan Negara Malaysia ke-14 pada tahun 2019. Berkelulusan daripada Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) di Yogyakarta, Indonesia ,1973, beliau memiliki Ijazah Sarjana daripada  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1980, dan Kedoktoran daripada Universiti Malaya, 1992. Beliau juga pernah mengajar di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM.

Bacaan Selanjutnya

  • Dewan Bahasa dan Pustaka. “Siti Zainon Ismail – Sasterawan Negara Ke-14 (2019).” Klik Web DBP. Diakses pada 2 September 2021. http://klikweb.dbp.my/?p=18454 (dalam bahasa Melayu)

  • Siti Zainon Ismail. “Menulis dan Melukis: Penulisan dan Lukisan dalam Seni Tradisional Melayu dan Kesannya dalam Seni Moden dan Kontemporari — Kajian Nilai Budaya.” Diterjemah oleh Hasnul J. Saidon. Dalam Naratif Seni Rupa Malaysia Jilid 1, disunting oleh Nur Hanim Khairuddin dan Beverly Yong, Kuala Lumpur: RogueArt, 2012

Bahagian Pembelajaran

  • Apakah yang anda lihat dalam lukisan ini. Apakah warna-warna yang digunakan? Apakah bentuk-bentuk yang anda lihat? Apakah kata sifat yang mampu mengungkapkan lukisan ini? Adakah lukisan ini memiliki sebarang corak atau tekstur? Apakah suasana yang ditonjolkan oleh lukisan ini?

  • Kaligrafi merupakan suatu elemen penting dalam kesenian Islam. Kenapakah penulisan dianggap sebagai suatu kesenian penting dalam kebudayaan Islam? Teks ini menerangkan kepada kita bahawa seniman ini juga merupakan seorang penulis. Wujudkah persamaan antara garisan-garisan yang beliau lukiskan itu dengan teks-teks berbahasa Arab yang pernah anda lihat? Apakah pula perbezaan-perbezaannya? Kenapa seniman ini tidak melukiskan huruf-huruf dan perkataan-perkataan ini dengan lebih mudah?

  • Perhatikan burung-burung dalam lukisan ini. Apa yang sedang mereka lakukan? Apakah perincian-perincian yang seniman ini tekankan? Apakah hubungan antara burung-burung tersebut dengan garisan-garisan yang menyelubungi mereka?