Art Detail | Ilham Gallery
The Thinker
 TAMBAH KE ALBUM
The Thinker
2003

Dengan mengambil inspirasi daripada arca ciptaan Auguste Rodin pada tahun 1904 yang menggunakan tajuk yang sama, Ahmad Fuad Osman memaparkan seekor cimpanzi dan bukannya figura manusia dalam karya The Thinker ini untuk menggambarkan sifat primitif manusia. Cimpanzi itu kelihatan duduk di atas tunggul kayu dengan dikelilingi dahan-dahan patah dan pokok-pokok tumbang yang nampaknya seperti akibat penebangan hutan. Tidak seperti arca pemikir yang diolah oleh Rodin dalam bentuk figura lelaki telanjang yang duduk termenung seraya memandang ke bawah bagi melambangkan fikiran kreatif, cimpanzi dalam catan figuratif Fuad Osman ini duduk tegak dengan bahu membongkok, sambil kedua-dua siku diletakkan di atas lutut dan sebelah tangan menongkat dagu. Ia tidak menunduk  ke bawah tetapi sebaliknya memandang tepat ke arah penonton dengan wajah muram yang menunjukkan rasa putus asa, dan secara tidak langsung merujuk kepada kesan perbuatan manusia ke atas alam semula jadi.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
152 x 76 cm
Tarikh:
2003
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ahmad Fuad Osman
Tentang Ahmad Fuad Osman

Dilahirkan pada tahun 1969 di Kedah, Ahmad Fuad Osman merupakan seorang seniman multi-disiplin yang terkenal dan kebanyakan karyanya berbentuk instalasi dan catan. Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang Seni Halus di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) pada tahun 1991, beliau menjadi salah seorang pengasas MATAHATI, sebuah kolektif seni yang memainkan peranan penting dalam arena seni kontemporari di Malaysia pada akhir dekad 1990-an. Karya-karya beliau sering membawa tema-tema sosio-politik seperti kuasa, politik identiti dan kelupaan sejarah. Salah sebuah karya penting beliau ialah Recollections of Long Lost Memories yang memenangi anugerah Pilihan Juri dalam pertandingan APBF Signature Art Prize yang diadakan di Singapore Art Museum pada tahun 2008. Beliau telah berpameran di pelbagai negara, dan antara beberapa pameran terbaharu yang beliau sertai ialah PRIMITIVE di Galeri A+ Works of Art, Malaysia (2018); Singapore Biennale: An Atlas of Mirrors di Singapore Art Museum (2016–2017); Multiple Languages di Galeri Silverlens, Makati, Manila, Filipina (2014); dan Welcome to the Jungle: Contemporary Art in Southeast Asia From the Collection of Singapore Art Museum di Yokohama Museum of Art, Jepun, (2013). Beliau tinggal dan berkarya di Bali, Indonesia dan Kuala Lumpur, Malaysia.

Sumber: A+ Works of Art

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Apakah kata-kata sifat yang sesuai untuk menggambarkan monyet di dalam lukisan ini. Siapakah atau apakah yang dia sedang perhatikan? Apakah petanda-petanda yang ada untuk kita menjawab soalan-soalan ini? [Bhg Pembelajaran] apakah pesanan yang ingin pelukis sampaikan? Sejauh manakah pentingnya latar belakang bagi pesanan itu?

  • Bandingkan karya ini dengan karya Zakaria Ali iaitu Sungai Tembeling. Adakah anda bersetuju bahawa pelukis ini meneroka pemikiran-pemikiran yang sama? Karya yang mana lebih memberi kesan? Adakah anda rasa kedua-dua karya seni ini akan membawa perubahan?