Art Detail | Ilham Gallery
Warrior
 TAMBAH KE ALBUM
Warrior
1960

Lukisan cat minyak ini memperlihatkan kemahiran melukis Peter Harris dan minatnya dalam membuat pemerhatian kerana ketika berkhidmat di Malaya beliau gemar melukis manusia dan kehidupan seharian mereka. Peter Harris menghasilkan banyak karya potret yang nampak menarik dan mempesonakan kerana olahannya yang ringkas. Karya Warrior ini memaparkan figura lelaki yang mengenakan pakaian tradisional sebuah masyarakat pribumi dengan berlatarbelakangkan alam semulajadi. Figura itu diolah dengan sapuan berus yang ekspresif dan warna-warna terang untuk menarik perhatian penonton. Penggunaan sapuan berus yang dibuat dengan yakin dan ringkas serta warna-warna yang berkontras menghasilkan intensiti bayang dan cahaya yang seimbang secara keseluruhannya.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas papan
Dimensi:
60 x 40 cm
Tarikh:
1960
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Peter Harris
Tentang Peter Harris

Dilahirkan di Bristol, England, Peter Harris (1923–2009) memainkan peranan penting dalam sejarah seni rupa Malaysia sebagai pelopor pendidikan seni yang awal. Tokoh pelukis dan pendidik ini mendapat pendidikan di West of England Art Academy pada tahun 1939, dan kemudian datang ke Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1951 untuk mengajar seni di sekolah-sekolah tempatan sebagai penguasa seni yang pertama di negara ini. Pada tahun berikutnya beliau menubuhkan Wednesday Art Group (WAG) untuk menggalakkan kebebasan ekspresi dan idea dalam lukisan kreatif. Ahli-ahli WAG terdiri daripada beberapa pelukis Malaysia yang terkenal, termasuklah Patrick Ng Kah Onn, Syed Ahmad Jamal, Dzulkifli Buyong, Cheong Lai Tong dan Dr Jolly Koh. Beliau meninggalkan Malaya pada tahun 1960 dan Balai Seni Lukis Negara menganjurkan pameran retrospektifnya yang pertama. Pada tahun 1962, beliau dipelawa datang semula ke negara ini untuk menyelia pendidikan seni di Sabah. Beliau berkhidmat selama  lima tahun sebelum pulang ke England pada tahun 1967. Karya-karya beliau telah dimasukkan ke dalam koleksi tetap Muzium Seni Singapura dan Balai Seni Lukis Negara Malaysia. Harris kembali ke Malaysia pada tahun 1996 untuk menghadiri sebuah pameran yang diadakan sebagai penghormatan kepada Wednesday Art Group, bertajuk ‘Then and Now’, di Galeriwan (sudah ditutup) di Kuala Lumpur. 

Bacaan Selanjutnya
  • Marco C. F. Hsu. A Brief History of Malayan Art. Singapore: Millennium Books, 1963.

  • Sarena Abdullah. Absenteeism of Malaysian Identity in Art in the Early Years of Independence. Jati, Volume 15, December 2010 

  • Emelia Ong Ian Li  and Izmer Ahmad. Expressions of Hybridity as Strategy for Malayan Nationalism: Selected Artworks in Modern Malayan Art. Wacana Seni Journal of Arts Discourse. Jil./Vol.14. 2015. University Malaya. 

Bahagian Pembelajaran

  • Adakah anda rasa “pahlawan” sebenar akan gembira apabila melihat potret ini? Kenapa? Adakah beliau sengaja berdiri sebegitu dan memakai pakaian tersebut? Atau, adakah itu hanya rekaan seniman itu sendiri? Apakah yang dapat diterangkan tentang orang di dalam lukisan tersebut dengan melihat kepada pakaian dan gaya berdirinya? Kenapakah kita tidak tahu nama orang dalam potret itu? Apakah hubungan orang itu dengan pelukisnya?

  • Ramai suku kaum asli di Malaysia masih mengamalkan adat tradisional dan mengekalkan warisan mereka. Walau bagaimanapun, semakin sukar untuk mereka kekalkan cara hidup mereka. Apakah faktor-faktor yang menyukarkan usaha pengekalan budaya tradisional pada hari ini? Apakah penting untuk kita mengekalkannya? Kenapa?