Art Detail | Ilham Gallery
Crossing the Bridge
 TAMBAH KE ALBUM
Crossing the Bridge
1950

Kuo Ju Ping sering digolongkan sebagai pelukis Nanyang tetapi gaya lukisannya dalam Crossing the Bridge ini nampaknya dipengaruhi para pelukis pasca-impresionisme Eropah pada akhir abad ke-19. Unsur-unsur Pasca-Impresionisme dapat dilihat menerusi penggunaan warna terang dan sapuan berus yang pendek dan berulang-ulang untuk mengolah gambar. Bagaimanapun, seperti pelukis-pelukis Nanyang yang lain, beliau turut berusaha menggambarkan alam dan kawasan desa dalam bentuk yang sempurna dan mempesonakan.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
36 × 40.5 cm
Tarikh:
1950
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Kuo Ju Ping
Tentang Kuo Ju Ping

Kuo Ju Ping (l. 1908, China – m. 1966, Pulau Pinang) berhijrah ke Malaya ketika remaja dan merupakan salah seorang dalam kumpulan pertama pelajar di Nanyang Academy of Fine Arts. Malangnya beliau terpaksa berhenti belajar awal kerana mengambil alih perniagaan import-eksport dari ayahnya. Ju Ping agak kurang terkenal pada zamannya dan hanya mendapat pengiktirafan selepas meninggal dunia. Bagaimanapun, beliau tetap bersemangat meneruskan minatnya dalam bidang seni dan pernah berkhidmat sebagai pendidik seni yang begitu berdedikasi. Beliau membantu menubuhkan Thursday Art Group dan Penang Chinese Art Club dan turut membimbing ramai pelukis muda yang akhirnya berjaya menempa nama mereka sendiri. Sejak meninggal dunia, beliau telah diberikan penghormatan menerusi tiga pameran retrospektif di Pulau Pinang: di Kongsi Khek, Galeri Seni Negeri Pulau Pinang dan The Art Gallery. Karya beliau juga pernah dipamerkan di Muzium Seni Fukuoka di Jepun dan Balai Seni Negara Malaysia.

Bacaan Selanjutnya

  • Marco C. F. Hsu. A Brief History of Malayan Art. Singapore: Millennium Books, 1963.

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan tentang susun atur lukisan ini. Apakah yang anda lihat di latar depannya? Apakah yang terdapat di latar tengah? Bagaimana pula dengan latar belakang? Apakah titik tumpuan lukisan ini? Bagaimanakah cara seniman ini menekankan titik tumpuan tersebut?

  • Berapa ramaikah figura yang terdapat di atas jambatan tersebut? Siapakah agaknya mereka itu? Adakah mereka miskin atau kaya? Muda atau tua? Apakah yang sedang mereka lakukan? Ke manakah mereka tuju? Pentingkah figura-figura tersebut untuk lukisan ini?