Art Detail | Ilham Gallery
Indian Dancers
 TAMBAH KE ALBUM
Indian Dancers
1956

Lukisan Indian Dancers ini memaparkan sekumpulan wanita India berpakaian baju kurta merah terang sedang menari di tengah-tengah kebun pisang. Tarian menggunakan batang kayu yang mereka persembahkan itu barangkali tarian rakyat yang popular yang dipanggil kolattam atau dandiya. Penari mengayunkan tangan di atas kepala seperti daun pokok pisang yang bergoyang di belakang mereka. Dengan menggunakan warna merah dan hijau pekat, Kuo Ju Ping berjaya merakamkan kemeriahan pemandangan kegiatan serta perayaan masyarakat di kawasan tropika yang subur. Seperti kebanyakan lukisan yang dihasilkan pada zaman itu, Indian Dancers memperlihatkan usaha pelukis untuk cuba mengungkapkan keindahan kehidupan budaya di Malaya.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas papan
Dimensi:
60 × 77 cm
Tarikh:
1956
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Kuo Ju Ping
Tentang Kuo Ju Ping

Kuo Ju Ping (l. 1908, China – m. 1966, Pulau Pinang) berhijrah ke Malaya ketika remaja dan merupakan salah seorang dalam kumpulan pertama pelajar di Nanyang Academy of Fine Arts. Malangnya beliau terpaksa berhenti belajar awal kerana mengambil alih perniagaan import-eksport dari ayahnya. Ju Ping agak kurang terkenal pada zamannya dan hanya mendapat pengiktirafan selepas meninggal dunia. Bagaimanapun, beliau tetap bersemangat meneruskan minatnya dalam bidang seni dan pernah berkhidmat sebagai pendidik seni yang begitu berdedikasi. Beliau membantu menubuhkan Thursday Art Group dan Penang Chinese Art Club dan turut membimbing ramai pelukis muda yang akhirnya berjaya menempa nama mereka sendiri. Sejak meninggal dunia, beliau telah diberikan penghormatan menerusi tiga pameran retrospektif di Pulau Pinang: di Kongsi Khek, Galeri Seni Negeri Pulau Pinang dan The Art Gallery. Karya beliau juga pernah dipamerkan di Muzium Seni Fukuoka di Jepun dan Balai Seni Negara Malaysia.

Bacaan Selanjutnya

  • Marco C. F. Hsu. A Brief History of Malayan Art. Singapore: Millennium Books, 1963. 

  • Kuo Ju Ping Memorial Exhibition Catalogue, Penang State Gallery, 1997

Bahagian Pembelajaran

  • Teliti lukisan ini. Bayangkan bahawa ianya dipisahkan secara mendatar kepada tiga bahagian iaitu atas, tengah dan bawah. Apakah yang anda lihat di bahagian atas gambar tersebut? Apakah warna-warna dan corak-corak yang anda lihat? Apakah bentuk-bentuk yang anda kenal? Bagaimana pula dengan latar tengahnya? Apakah warna-warna yang lebih menyerlah? Apakah bentuk dan corak yang anda perasan? Sekarang lihat bahagian bawah. Apakah yang anda nampak? Apakah warna yang paling penting? Apakah bentuk dan corak yang anda lihat? Dalam ketiga-tiga bahagian ini, bahagian mana yang lebih penting? Bagaimanakah cara seniman ini menarik perhatian kita ke bahagian itu?

  • Lihat setiap penari itu. Adakah seniman ini melukiskan mereka dengan ciri-ciri unik tersendiri atau adakah beliau menggambarkan mereka sebagai figura-figura umum? Adakah seniman ini kenal dengan penari-penari itu? Bagaimanakah cara seniman ini memaparkan kepada kita irama muzik dan tarian itu? Bagaimanakah pula cara seniman ini melukiskan pergerakan? Adakah tarian itu laju atau perlahan, lembut atau lincah? Apakah petanda-petanda yang boleh menjelaskan kepada kita tentang jenis muzik yang dimainkan?