Art Detail | Ilham Gallery
Malaysian Rainforest
 TAMBAH KE ALBUM
Malaysian Rainforest
1999

Lukisan ini merakamkan pemandangan hutan hujan yang tumbuh subur di Malaysia yang dilihat dari satu perspektif unik, iaitu seolah-olah menerusi pandangan mata seekor serangga di atas tanah. Dari sudut ini, kita boleh melihat bahagian bawah dedaunan dan cahaya putih sinaran matahari menembus melalui celah-celah rimbunan pokok. Puncak pokok-pokok yang terletak di kejauhan kelihatan menghilang dan menjadi sebahagian daripada langit. Sebatang pokok tinggi menjulang ke atas dan kelihatan membentuk lengkung yang sangat besar hingga melepasi permukaan kanvas. Pokok-pokok lain dilukis secara rawak di atas ruang lukisan untuk menggambarkan kesuburan alam semula jadi yang dibiarkan hidup dengan sendiri. Menurut pandangan Johan Marjonid, hutan hujan yang tumbuh liar dan diwarisi turun-temurun di Malaysia kelihatan lebih agung dan hebat daripada pencakar langit di bandar yang dibina melalui kegiatan pembalakan yang berleluasa yang sering dibuat secara haram.

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
120.5 × 162.5 cm
Tarikh:
1999
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Johan Marjonid
Tentang Johan Marjonid

Johan Marjonid (l. 1968, Johor) merupakan seorang pelukis sepenuh masa dan beliau dikenali kerana lukisan-lukisan gaya realismenya yang memaparkan pemandangan hutan hujan tropika di Malaysia yang semakin menyusut. Beliau menamatkan pengajian di Institut Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1992. Dalam proses melukis pemandangan hutan, beliau tidak pernah merujuk kepada gambar foto tetapi sebaliknya lebih suka melukis secara langsung di lokasi. Antara kawasan hutan yang menjadi kegemaran untuk beliau melukis ialah Gunung Stong di Kelantan, Gunung Tahan dan Taman Negara di Pahang, taman negeri Royal Belum di Perak dan taman negara Endau-Rompin. Pada tahun 1994, beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan “Landskap Malaysia” anjuran Balai Seni Lukis Negara. Karya-karya beliau terdapat dalam koleksi Balai Seni Negara, Galeri Seni Johor, PETRONAS, Pos Malaysia, Majlis Kayu Kayan Malaysia dan pelbagai koleksi awam dan swasta yang lain.

Bacaan Selanjutnya
  • Arts.com.my. “Johan Marjonid.” Accessed September 2, 2021. arts.com.my/who-are-we-intersectant-asiamind

  • Sarena Abdullah. “Thematic Approaches in Malaysian Art Since the 1990s.” JATI - Journal of Southeast Asian Studies, vol. 16 (December 2011): 97–112.

Bahagian Pembelajaran
  • Bayangkan anda sedang berdiri di dalam lukisan ini. Apakah bunyi-bunyi bising yang anda dengar? Pukul berapakah waktu itu? Bagaimanakah rasa udaranya? Apakah yang anda akan rasa kalau berada di tempat ini? Apakah emosi-emosi yang anda kaitkan dengan tempat ini?

  • Bandingkan lukisan ini dengan lukisan Sg. Tembeling Zakaria Ali. Apakah persamaan dan perbezaan yang terdapat di dalam kedua-dua lukisan tersebut? Lukisan yang mana lebih dekat dengan perasaan anda terhadap hutan di Malaysia?