Art Detail | Ilham Gallery
Pertarungan
 TAMBAH KE ALBUM
Pertarungan
2002

Dalam karya Pertarungan ini, dua orang pesilat sedang bertarung di tepi gelanggang. Seorang pesilat mengangkat kaki dan bersiap sedia hendak menyerang, sementara seorang lagi bersedia untuk menyerap pukulan. Persamaan dari segi raut wajah dan bentuk badan menunjukkan bahawa kedua-dua figura tersebut bukanlah identiti yang berbeza tetapi individu yang sama, dan ini menggambarkan salah satu tema yang sering menjadi tumpuan utama Amron Omar: konflik dalaman antara kebaikan dan kejahatan seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan silat. Sejak tahun 1980, lukisan dan catan yang dihasilkan oleh Amron sentiasa memberikan fokus pada silat, iaitu satu cabang seni mempertahankan diri yang berasal dari tradisi budaya Melayu, dan beliau sendiri merupakan seorang guru silat. Tajuk Pertarungan juga dipakai untuk beberapa karya awal beliau yang menumpukan pada silat. Dalam karya-karya awal beliau ini, wajah pesilat dan lawannya selalu dikaburkan supaya perhatian diberikan kepada kedinamikan dan tenaga pada pergerakan yang banyak terdapat dalam silat. Walau bagaimanapun, catan yang amat bertenaga ini menampilkan gambaran lebih realistik mengenai silat. Kita dapat melihat dengan jelas wajah kedua-dua pesilat dan gerak-geri tubuh yang dilukis dengan penuh dramatik.

Maklumat
Media:
Gouache atas kertas
Dimensi:
28 x 32 cm
Tarikh:
2002
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Amron Omar
Tentang Amron Omar

Dilahirkan di Kedah, Amron Omar (l. 1957) merupakan lulusan dari Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM) pada tahun 1980. Pada tahun 1982, beliau memenangi Anugerah Kecil dalam pameran Bakat Muda Sezaman. Beliau turut memenangi Anugerah Perak dalam pertandingan Asia Art anjuran Sime Darby pada tahun 1985. Beliau juga pernah menyertai pameran di peringkat antarabangsa, seperti The Contemporary Asian Art Show di Fukuoka, Jepun (1980), ASEAN Mobile Show di Jakarta (1981) dan Contemporary Paintings of Malaysia di Los Angeles, California (1988). Pada tahun 2012, Balai Seni Negara mengadakan pameran solo untuk beliau yang menampilkan lebih daripada 150 buah karya. Kemunculan Amron sebagai pelukis terkenal adalah penting kerana ia berlaku sewaktu tempoh kebangkitan semula Islam. Sebagai pelukis yang memberikan tumpuan pada lukisan figuratif, Amron berjaya mengelak daripada melanggar ajaran Islam yang melarang umatnya melukis makhluk hidup dengan memilih satu topik yang memerlukan penjelasan mengenai tubuh manusia.

Bacaan Selanjutnya
  • Michelle Antoinette, Endurance and Overcoming in the Art of Amron Omar and Melati Suryodarmo: Invoking Uncommon Alignments for Contemporary Southeast Asian Art History, Southeast of Now: Directions in Contemporary and Modern Art in Asia, Volume 1, Number 1, March 2017, pp. 81-129 (Article) Published by NUS Press Pte Ltd.

  • Abdullah, A. H., Ibrahim, Y., and Halid, R. I. R. (2020). An Iconographical Analysis Based on the Erwin Panofsky Theory on the Malayness in The Paintings of Amron Omar and Haron Mokhtar. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences. 10(9), 589-601.

Bahagian Pembelajaran