Art Detail | Ilham Gallery
Rubber Trees
 TAMBAH KE ALBUM
Rubber Trees
1960

Dalam karya ini, Tay Mo-Leong telah secara inovatif mengguna ‘retakan’ batik sebagai teknik membuat imej, berbeza daripada fungsi hias yang biasa. (Retakan dicipta dengan menyapu lilin pada kain dan merenyukkannya, supaya pewarna, sebaik sahaja ia digunakan, bergerak melalui rekahan pada lilin.) Di sini, ianya telah digunakan oleh Tay Mo-Leong untuk menggambarkan rangkaian ranting dan daun pokok di ladang getah. Retakan yang berselirat huru-hara memberikan kontras yang ketara kepada satah gambar yang rata, serta figura yang ringkas dan abstrak, yang merupakan ciri stail Tay. Percikan warna terang terpilih digunakan untuk mengimbangi retakan biru dan menghidupkan landskap yang sederhana dan tipis di bahagian bawah lukisan.

Maklumat
Media:
Batik
Dimensi:
80 × 65 cm
Tarikh:
1960
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Tay Mo-Leong
Tentang Tay Mo-Leong

Tay Mo-Leong (lahir 1938, Pulau Pinang) menerima pendidikan seninya daripada Kolej Normal Taipei Taiwan (kini Universiti Pendidikan Kebangsaan Taipei) pada tahun 1957 dan kemudiannya di Longboat Key Centre for the Arts, Florida, pada tahun 1970. Mula-mula beliau berminat dengan seni batik ialah di Taipei. Sekembalinya ke Malaysia pada 1960, beliau mula meningkatkan kemahiran membatiknya melalui lawatan sambil belajar berulang kali ke Kelantan. Walaupun beliau lebih dikenali dengan karya batiknya, beliau juga mahir melukis dengan cat air, malah berkhidmat sebagai Pengerusi Persatuan Cat Air Pulau Pinang selama dua puluh tahun dari 1985 hingga 2005. Dia juga telah pun mengadakan pameran solo di dalam dan di luar negara, di Jepun, Amerika Syarikat, dan Australia. Pada tahun 2009, Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang memberi penghormatan kepadanya dengan sebuah pameran retrospektif.

Bacaan Selanjutnya


Bahagian Pembelajaran

  • Perhatikan figura-figura dalam karya Tay Mo Leong. Apakah kaitan figura-figura ini dengan pengeluaran getah? Saiz figura-figura ini adalah sedikit kecil jika dibandingkan dengan saiz keseluruhan karya ini. Apakah perasaannya kalau kita menjadi salah seorang daripada figura ini?

  • Getah semula jadi diperolehi daripada getah pokok Hevea brasiliensis. Pada tahun 1888, sebanyak 22 anak pokok getah dari Brazil telah di bawa ke Tanah Melayu oleh Kew Garden di London. Dikatakan bahawa, kita masih boleh melihat pokok-pokok getah di Kuala Kangsar, Perak yang ditanam daripada salah satu anak pokok asal! Hasil daripada usaha seorang ahli botani yang bernama H.N Ridley yang memperkenalkan kaedah-kaedah baharu penorehan getah, getah akhirnya menjadi bahan mentah berdaya maju. Pada dekad pertama abad ke-20, perdagangan getah menjadi sangat pesat kerana pada waktu itu industri automobil Amerika dan permintaan terhadap tayar getah semakin meningkat. Sejak tahun 1960-an, Malaysia menjadi salah satu daripada pengeluar getah terbesar di dunia. Penanaman getah telah banyak memberi perubahan kepada negara ini. Kalau tidak ada penanaman getah, apakah yang mungkin akan terjadi kepada Malaysia?

  • Di dalam karya ini, Tay Mo Leong memanfaatkan sifat luar jangka proses cantingan batik bagi menghasilkan kesan kusut dahan-dahan pokok getah. Apa kata anda bermain dengan teknik-teknik lain yang tidak memerlukan banyak kawalan? Curahkan sedikit cat air atau dakwat pada permukaan kertas. Gunakan penyedut minuman untuk meniup dakwat tersebut di atas permukaan kertas. Corak yang dihasilkan mestilah menyerupai dahan pokok. Anda boleh melakarkan figura-figura di bawah pokok tersebut untuk menjawab karya Tay Mo Leong. Apakah teknik-teknik lain yang boleh digunakan untuk menghasilkan kesan kusut seperti dahan dan ranting?