Art Detail | Ilham Gallery
Storm Rider
 TAMBAH KE ALBUM
Storm Rider
2000

Mad Anuar Ismail mengabadikan semangat kecekalan dan ketabahan manusia pada arca ukiran besi separa abstrak ini. Karya ini memakai tajuk yang sama dengan judul siri Storm Riders yang dihasilkan oleh beliau. Siri tersebut mencakupi sejumlah besar karya yang menimba inspirasi daripada memori mengenai kehidupan seharian dan juga kesukaran hidup yang dialami oleh kaum nelayan di kampung halamannya di Terengganu. Arca Storm Rider yang dramatik dan memukau ini menunjukkan dua orang nelayan, dalam posisi yang membelakangi satu sama lain, gigih merempuh lautan bergelora sambil gagah menjulang tangan sasa mereka yang menggenggam dayung. Penekanan bentuk pada elemen simetri yang digarap secara berlebih-lebihan dan pada garis-garis yang tajam digabungkan dengan pengolahan garis-garis lengkung yang lebih lembut serta unsur-unsur pergerakan yang halus. Dengan cara ini pelukis berjaya menghasilkan kesan visual yang kuat bagi menyampaikan kisah tentang kewiraan dan keupayaan manusia dalam mengatasi kesusahan. Penggunaan motif tradisional dan tempatan jelas meningkatkan lagi unsur keNusantaraan pada karya ini. Penggunaan bahan besi pula menggambarkan usaha yang sedang dilakukan oleh pelukis ini untuk mencari jalan bagi mengimbangi antara kehidupan tradisional dan keadaan moden yang bakal muncul.

Maklumat
Media:
Besi
Dimensi:
120 x 134 x 130 cm
Tarikh:
2000
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Mad Anuar Ismail
Tentang Mad Anuar Ismail

Mad Anuar Ismail dilahirkan pada tahun 1952 di Dungun, Terengganu dan merupakan anggota kumpulan Anak Alam pada tahun 1970-an. Karya-karya arca beliau yang dibuat daripada kayu dan besi mengangkat falsafah estetika tradisional seraya meneroka beraneka perspektif dan bahasa visual yang baharu. Beliau menuntut di Institut Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Lukis dan Seni Reka pada tahun 1977. Beliau pernah menyertai pelbagai pameran di dalam dan luar negara. Pada tahun 2017, pameran sulung beliau bertajuk ‘Getaran’ telah diadakan oleh Fergana Art di White Box, Publika.

Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran

  • Teliti arca ini. Terangkan dua figura yang anda lihat. Apakah kata sifat yang boleh digunakan untuk menerangkan kedua-duanya? Adakah ianya nampak seperti kerja keras? Judul arca ini adalah Storm Rider. Adakah judul karya ini membantu anda untuk memahami maksud yang ingin disampaikan oleh arca ini? Apakah elemen-elemen ribut yang anda dapat lihat pada arca ini?

  • Apakah saiz arca ini? Daripada apakah arca ini diperbuat? Berapa berat arca tersebut?