Art Detail | Ilham Gallery
The Haji Family
 TAMBAH KE ALBUM
The Haji Family
1990

Karya media campuran ini merupakan salah sebuah karya dalam siri The Malaysian Series oleh Redza Piyadasa. Karya ini menggunakan foto-foto potret dari zaman silam, yang dicetak dengan teknik saring sutera dan difotokopi, untuk memaparkan kisah tentang Malaysia Moden dan beraneka realiti pelbagai budaya yang ada di dalamnya. Pelukis ini mengolah bermacam-macam jenis gambar, dari gambar keluarga sampailah gambar tokoh-tokoh awam ternama, untuk mengemukakan pelbagai sejarah sosial dari kelompok-kelompok etnik yang berbeza. Dalam karya ini, sebuah keluarga Melayu mengambil gambar di studio potret dengan mengenakan pakaian tradisional dan juga Barat. Dalam perbualan dengan sejarawan seni T.K. Sabapathy, Piyadasa menyatakan, “…kita boleh menceritakan kisah tentang ciri kepelbagaian etnik di Malaysia menerusi citra visual atau gambar. Ia bukanlah sangat satu usaha dangkal dan bersifat luaran untuk menghasilkan gambar tetapi juga untuk menangani imej-imej dengan konteks-konteks sosial tertentu, dan menegaskan penting dan perlunya imej-imej figuratif ini dalam pelbagai konteks baharu yang sudah muncul di negara ini yang memisahkan bumiputera dan bukan bumiputera.”

Maklumat
Media:
Cetakan saring sutera atas kertas
Dimensi:
58 x 82 cm
Tarikh:
1990
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Redza Piyadasa
Tentang Redza Piyadasa

Redza Piyadasa (1939–2007) dilahirkan di Kuantan. Beliau merupakan seorang pelukis, pengkritik seni dan pendidik seni yang terkenal. Melalui praktisnya yang luas dan karyanya yang beraneka ragam, beliau sering bergelut dengan persoalan tentang identiti negara di Malaysia. Beliau menerima biasiswa kerajaan dan dihantar ke England untuk melanjutkan pengajian, mula-mula di Malayan Teachers College di Brinsford Lodge (1959) dan selepas itu di Hornsey College of Art di London (1963). Beliau mengajar di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu (1968–69) dan kemudiannya menjadi pensyarah di Institut Teknologi MARA (1969–74), sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah Sarjana Seni Halus di Universiti Hawaii, Manoa (1975–77). Selepas itu beliau berkhidmat sebagai pensyarah seni di Universiti Sains Malaysia (1977–84). Antara hadiah dan anugerah yang pernah beliau terima ialah Hadiah Utama dalam pertandingan Landskap Malaysia pada tahun 1974, Anugerah Kecil (bersama Lee Kian Seng) dalam pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1979 dan Anugerah Prince Claus pada tahun 1998. Beliau juga menerima anugerah Australian Cultural Award (1987) dan Japan Foundation (1992). Pada tahun 2001, Balai Seni Negara mengadakan pameran retrospektif untuk beliau sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepadanya.

Bacaan Selanjutnya
  • Piyadasa, An Overview, 1962 - 2000, Kuala Lumpur : National Art Gallery 2001, pg.126

Bahagian Pembelajaran
  • Perhatikan potret keluarga ini dengan teliti. Lihat bagaimana setiap ahli keluarga bergaya. Adakah mereka duduk atau berdiri? Adakah mereka nampak santai? Adakah mereka condong, menghadap atau bersentuhan dengan satu sama lain? Apakah personaliti, status, dan hubungan setiap orang dalam keluarga itu kalau kita merujuk kepada potret ini? Siapakah yang berada di tengah-tengah potret ini? Kenapa?

  • Bagaimanakah  cara penggunaan warna dalam potret ini? Seniman ini meletakkan warna ke atas gambar hitam putih. Bagaimanakah beliau menentukan bahagian untuk setiap warna? Apakah warna-warna yang digunakan bersangkut-paut dengan hubungan setiap ahli keluarga? Apakah makna-makna lain yang disimbolkan oleh warna-warna yang berbeza itu?

  • Agak kurang selesa juga kalau mengambil gambar berkumpulan. Cari sekeping gambar lama keluarga atau bilik darjah anda. Warnakan dan lihat bagaimana setiap figura yang ada dalam gambar itu sedang bergaya. Jawab karya Piyadasa ini dengan menambahkan pilihan warna adalah terhad. Jadikan warna sebagai kod rahsia bagi menghubungkan setiap orang dalam kumpulan itu. (cth. gunakan warna merah untuk budak lelaki, hijau untuk setiap orang yang ada sudah bertegur-sapa minggu ini, atau warna merah untuk setiap orang yang tinggal dalam satu rumah).