Art Detail | Ilham Gallery
Untitled
 TAMBAH KE ALBUM
Untitled
2019

Untitled adalah sebuah arca biomorfik berbentuk organik yang memperlihatkan penglibatan Pich yang berterusan dengan struktur organik daripada alam semula jadi, seperti tumbuhan. Karya ini memperolehi ilham daripada lenggai biji pohon Beng (Afzelia xylocarpa) yang tumbuh di merata Kemboja tetapi kini terancam akibat pembalakan berlebihan. Pich mengumpul lenggai biji daripada pohon-pohon berhampiran studionya, untuk dijadikan lambang kebingkasan dan pada masa yang sama kerapuhan ekosistem Kemboja. Arca yang menyerupai sepasang paru-paru ini mengingatkan kumpulan karya beliau yang awal bila bentuknya dipengaruhi oleh bentuk organ dalam badan manusia seperti jantung, paru-paru dan usus. Dengan karya ini Pich meneliti kecairan garisan dan pengembangan isi padu, semuanya dihad oleh bentuk asas struktur semula jadi.

Maklumat
Media:
Buluh, rotan, kulit kambing, wayar, kain terpal, resin sintetik
Dimensi:
252 x 185 x 33 cm
Tarikh:
2019
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Sopheap Pich
Tentang Sopheap Pich

Lahir di Battambang, Kemboja pada tahun 1971, Pich bersama keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1984. Selepas memperolehi ijazah Sarjana Muda Seni Halusnya daripada Universiti Massachusetts di Amherst pada tahun 1995 dan Sarjana Seni Halus daripada Sekolah Insitut Seni Chicago (SAIC) pada tahun 1999, beliau pulang ke Kemboja pada tahun 2002. Di sana beliau mula berkarya dengan bahan tempatan — buluh, rotan, kain terpal, lilin lebah dan pigmen bumi Kemboja — untuk membuat arca yang diilhami anggota badan, bentuk tumbuhan dan struktur geometri abstrak. Pengalaman beliau di waktu kecil semasa peristiwa genosid Kemboja lewat 1970an telah

memberi kesan berkekalan ke atas pengkaryaannya; tema-tema masa, memori dan jasad kerap muncul dalam karyanya. Karya arcanya tertonjol dengan kehalusan dan ketegasan, menggabungkan perhalusan bentuk dengan tenaga emosi yang mendalam.

Bahagian Pembelajaran

Arca Sopheap Pich menyulam elemen-elemen alam semula jadi dan keadaan manusia bagi mengangkat masalah gangguan ekosistem di Kemboja akibat daripada pembalakan yang tidak terkawal. Karya tersebut memaparkan sepasang jantung berbentuk lenggai, inspirasi dari lenggai benih pokok Beng (Afzelia xylocarpa) yang diancam kepupusan.

  • Pokok Beng Kemboja merupakan pokok tropika yang sangat besar. Ketinggiannya boleh mencecah 30-meter dan dahannya selebar 2-meter. Setiap bahagian pokok boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Oleh sebab itu ianya mendapat permintaan yang tinggi. Dalam banyak-banyak bahagian pokok yang beliau boleh gunakan, kenapa dia memilih benih untuk membentuk arcanya?

  • Kenapakah seniman itu ingin memaparkan bentuk lenggai dalam imej sepasang jantung? Fikirkan tentang fungsi jantung dan apa yang dicerminkan oleh lenggai sebagai benih. Bagaimanakah simbolisme-simbolisme ini boleh beriringan?

  • Salah satu jantung dilihat kosong dan dibentuk oleh dawai, sementara jantung kedua diisi dan dibentuk dengan bahan-bahan semula jadi. Apakah maksudnya?


Tugasan

  • Pembalakan haram dan berlebihan telah menyebabkan berlakunya masalah alam sekitar seperti penghapusan habitat hinggalah kepada kepupusan flora dan fauna. Bagaimana anda ingin gambarkan isu ini? Lukiskan idea anda.

  • Cari bahan-bahan semula jadi seperti daun dan ranting di sekitar rumah anda, atau kitar semula bahan-bahan seperti kertas atau papan telur. Hasilkan arca yang mencerminkan pemikiran anda tentang alam persekitaran dengan menggunakan bahan-bahan tersebut.