Art Detail | Ilham Gallery
Tanah Air Ku (#01)
 TAMBAH KE ALBUM
Tanah Air Ku (#01)
2018

Bagi berbagai masyarakat Nusantara (Asia Tenggara maritim), tikar membawa banyak erti: bahan rumah tangga yang merupakan tempat diadakan berbagai kegiatan bersama, untuk bersembang atau perhimpunan, penyediaan makanan dan tidur. Ianya juga pentas sementara untuk persembahan. Bila ia kembali ke tanah airnya di Sabah selepas 20 tahun menempat dan bekerja di Kuala Lumpur, pelukis terasa untuk mencari tikarnya sendiri, perkampungannya, sekali lagi. Di Kuala Lumpur, amalan seni beliau berkisarkan kerja foto dan media; selepas kembali ke Sabah ianya telah mirip kepada anyaman tikar, kerja tangan yang melibatkan usaha komuniti dan perkongsian kerja.

Maklumat
Media:
Anyaman bahan buluh, tuber kayu, pencelup semula jadi hitam dan gam PVC
Dimensi:
160 x 225 cm
Tarikh:
2018
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Yee I-Lann
Tentang Yee I-Lann

Yee I-Lann (l. 1971, Sabah, Malaysia Borneo) kini menetap di Kota Kinabalu di negeri Sabah. Praktik fotomedia beliau mengangkat sejarah bergolak kepulauan Asia Tenggara dengan mengetengahkan isu-isu seperti kolonialisme dan neo-kolonialisme, kuasa dan juga impak memori sejarah dalam pengalaman sosial, kerap memfokuskan kepada naratif balas “sejarah dari akar”. Beliau menggunakan perbendaharaan yang kompleks dan berlapis yang merujuk kepada sejarah, budaya popular, arkib dan objek harian. Kini beliau sedang bekerjasama dengan masyarakat laut dan darat menggunakan bahan pribumi di Sabah. Beliau pelopor bersama The Ricecooker Archives: Southeast Asian Rock ‘n’ Roll Treasury bersama rakan kongsi Joe Kidd dan terbabit dalam industri filem Malaysia sebagai pereka produksi. Kini beliau ahli lembaga Forever Sabah dan Tamparuli Living Arts Center (TaLAC), kedua-duanya di Sabah.


Bahagian Pembelajaran

Menganyam merupakan satu seni di mana benang (dalam kes ini belahan batang buluh) disulam menjadi lembar yang lebih besar. Kaedah ini merupakan kaedah utama yang digunakan untuk menghasilkan tikar. Menurut Yee I-Lann, dalam masyarakatnya tikar membawa makna ruang awam dan ruang budaya. Setelah pulang dari KL, I-Lann menukar kerjayanya dalam bidang media bergambar kepada menganyam tikar kerana beliau ingin menjalinkan semula hubungan dengan masyarakatnya. Dalam karya ini, perkataan “Tanah & Air” yang ditulis besar di lembaran tikar melambangkan masyarakat-masyarakat Sabah baik di tanah mahupun laut.

  • Dengan mengambil kira perkara ini, apakah maksud karya tikar Yee I-Lann itu? Apakah kaitannya dengan persoalan identiti dan rasa kepemilikan (sense of belonging) beliau?

  • Perkataan Tanah dan Air turut membawa maksud Tanah Air atau tempat lahir atau ibu pertiwi. Apakah maksud permainan kata ini? Apakah maksud Tanah, Air, dan Tanah Air menurut anda?

  • Seniman ini turut mengatakan bahawa simbol “&” dalam karya tersebut adalah sangat penting. Apakah maksud beliau?

Penganyaman dan pembuatan tikar itu sendiri melambangkan masyarakat yang hidup secara kolektif apabila menyerlahkan imej jalinan rapat masyarakat (bayangkan seutas benang sebagai individu yang disulam dengan benang-benang lain menjadi sebuah masyarakat).

  • Apakah kegiatan-kegiatan lain yang mencerminkan lambang atau sentiment yang sama?

  • Tikar merupakan objek biasa yang menjadi saksi kepada pelbagai acara dan kegiatan. Semakin kita menggunakannya, semakin banyak makna dan kepentingannya. Para ahli antropologi menggelarkan perkara ini sebagai budaya material. Apakah objek-objek lain yang memiliki makna dalam hidup anda atau masyarakat anda? Fikirkan tentang kegunaan objek tersebut dan bagaimana objek itu memiliki makna yang lebih jauh dari kegunaannya.

  • Bagaimanakah proses penganyaman tikar yang dilakukan dalam persekitaran bersama dapat membantu para penganyam untuk meluahkan cerita-cerita tentang hidup dan pengalaman mereka?


Tugasan


Hasilkan karya anyaman anda sendiri! Anda boleh gunakan bahan-bahan seperti daun pandan atau kertas seperti surat khabar atau kertas A4 berwarna.

Untuk mereka yang baru mencuba, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan: kertas A4 berwarna, gunting/pisau, pensel dan pembaris.

  • Mula-mula anda perlu membuat garisan pada sekeping kertas. Dengan menggunakan pensel dan pembaris, buat garisan menegak dengan jarak setiap satunya adalah 1-1.5. Tinggalkan sedikit ruang sebesar 2cm pada bahagian atas, bawah, kiri, dan kanan kertas.

  • Potong garis tersebut sehingga terbelah.

  • Ambil sekeping kertas lain dengan warna yang berbeza, kemudian potong kertas tersebut lebih kurang 1-1.5 tinggi.

  • Anyamkan kepingan kertas tadi satu persatu mengikut corak yang anda inginkan. Apabila siap, potong lebihan-lebihan kertas pada anyaman anda.

Gunalah kreativiti anda dan cuba hasilkan rekabentuk dan corak-corak baharu! Buatlah bersama kawan-kawan atau keluarga anda!