Art Detail | Ilham Gallery
God Has Left My Place II
 TAMBAH KE ALBUM
God Has Left My Place II
2018

Lukisan figuratif Hit Man Gurung dalam siri God Has Left My Place merenung kesan perpindahan terpaksa akibat dari peperangan saudara Mao di Nepal. Gambaran minimalis yang diberi beliau menonjolkan pengorbanan sosial dan emosi yang biasa dialami oleh pekerja Nepal dalam mencari pekerjaan di luar negara, dari segi bayaran gaji yang rendah dan keadaan hidup tertindas.

Maklumat
Media:
Dakwat dan akrilik atas kertas bebas asid
Dimensi:
69.9 x 57.2 cm
Tarikh:
2018
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Hit Man Gurung
Tentang Hit Man Gurung

Gurung dilahirkan di Nepal pada tahun 1986. Beliau memegang ijazah sarjana daripada Universiti Tribhuvan di mana beliau mengajar sekarang. Karyanya banyak mengisahkan kesan penghijrahan dan pembangunan bandar yang tidak tentu hala akibat sepuluh tahun perang saudara Maois di Nepal, serta gangguan kestabilan politik berpanjangan. Ribuan rakyat negaranya telah meninggalkan negara dan keluarga untuk mencari rezeki gaji rendah di luar negara. Gurung bertujuan memberi pandangan berbeza kepada audiensnya. Imejan minimalis beliau menonjolkan padah yang lazimnya menimpa pekerja-pekerja Nepal dari segi masalah sosial dan emosi. Gurung ialah pengasas bersama sebuah kolektif artis, Artree Nepal. Catan, kolaj foto dokumentari serta instalasi beliau telah luas dipamerkan. Pada tahun 2011, beliau menerima Anugerah Seni Himalaya daripada Yayasan Himalaya Australia.


Bahagian Pembelajaran

Perbincangan

Gurung merupakan seorang seniman yang menetap di Kathmandu. Karya-karyanya sering membicarakan tentang suasana sosio-politik di Nepal. Dalam karya-karyanya, beliau mengangkat tema-tema dan naratif-naratif tentang penghijrahan besar-besaran akibat perang saudara Maois yang berlangsung selama sepuluh tahun, pembandaran serta masalah kapitalisme global.

  • Kenapakah seni sering digunakan sebagai platform untuk mengangkat masalah-masalah sosio-politik yang sangat mendesak dan kontroversi?


Karya ini dengan kritis berbicara tentang penghijrahan paksa akibat daripada perang saudara Maois yang berlangsung selama sepuluh tahun di Nepal. Penghijrahan paksa merupakan suatu bentuk penghijrahan atau perpindahan manusia jauh dari rumah mereka akibat daripada segala macam ancaman.

  • Apakah yang anda fikirkan apabila melihat karya seni ini? Apakah elemen tertentu yang paling menarik perhatian anda?

  • Apakah kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh penghijrah dan pelarian?

  • Jelaskan sebab-sebab lain yang mendorong orang untuk meninggalkan kampung halaman mereka dan berhijrah ke negara baharu?

Tugasan


Karya seni ini adalah sangat minimalis tetapi mengandungi pesanan yang kuat dan menyimpan naratif yang kompleks. Setiap elemen dalam karya ini memiliki cerita dan berperanan kepada gambaran keseluruhan.

  • Berjalan di dalam rumah sambil membayangkan bahawa tidak lama lagi anda akan meninggalkan rumah tersebut. Barang apakah yang anda akan bawa bersama?
    a. Cuba hasilkan sebuah karya seni yang menggambarkan barangan yang dipilih tersebut atau makna di sebalik setiap barangan yang anda pilih.

  • Wawancara seorang penghijrah yang anda kenal, baik kawan atau ahli keluarga anda. Minta orang yang diwawancara itu menerangkan tentang rumah/kampungnya sebelum dia berhijrah

  • Fikirkan tentang asal-usul dan keturunan anda. Adakah mereka berhijrah dari satu tempat ke tempat lain
    a. Wawancara ahli keluarga atau semak dokumen-dokumen keluarga (cth. gambar-gambar) dan cuba bayangkan perjalanan dan kepayahan yang mereka lalui.
    b. Hasil sebuah karya seni yang mencerminkan perjalanan itu.