Art Detail | Ilham Gallery
Pago-Pago / Langkawi
 TAMBAH KE ALBUM
Pago-Pago / Langkawi
1970

Arca tembaga ini merupakan salah satu daripada beberapa arca lain yang terdapat dalam siri Pago-Pago, karya Abdul Latiff Mohidin. Pago-Pago bermula pada tahun 1960 dan secara umumnya adalah catan-catan gaya gerakan tangan bebas. Ia bertitik tolak daripada pengembaraan beliau ke Eropah dan Asia Tenggara sekitar tahun 1960-an. Pada waktu itu jugalah Latiff terlibat dalam pelbagai wacana semasa seputar isu penggunaan citra primitif dalam seni moden. Sebaik sahaja beliau pulang ke Asia Tenggara, Latiff Mohidin terus bergelumang dalam suatu semangat pengkaryaan yang kosmopolitan tetapi tetap berakar serantau. Istilah “Pago-Pago” yang merupakan gabungan kata ‘pagoda’ dan pagar menjelaskan semangat ini. Pengaruh bentuk seni bina jelas kelihatan dalam cara Latiff mengungkapkan estetika serantau tersebut dalam arca tembaga ini: jika dilihat dari tepi, bentuk tembaga padu ini menyerupai serpihan atap berbentuk tanduk yang terdapat pada pagoda di Asia Tenggara. Tanduk yang beliau hasilkan ini lebih rata dan dibentuk menggunakan bongkah tembaga yang berat dan tebal, berbanding bentuk-bentuk kerucut pada struktur asal yang isipadunya lebih ringan. Permukaan dalamannya pula lebih berkilau berbanding dengan bahagian tepi yang lebih pusam. Dengan cara itu, seniman ini telah mentafsirkan bentuk seni bina vernakular dengan cara yang lebih serius dan bersifat industri. Ianya merupakan sebuah pendekatan yang dilahirkan dari motif-motif Asia Tenggara bagi membangkitkan konteks kosmopolitan semasa.

Maklumat
Media:
Tembaga
Dimensi:
74 x 37 x 35.5 cm
Tarikh:
1970
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Abdul Latiff Mohidin
Tentang Abdul Latiff Mohidin

Abdul Latiff Mohidin (lahir 1941, Negeri Sembilan) seorang pelukis, penulis dan penyajak modenis Malaysia yang terkenal. Beliau menamatkan pendidikan rendahnya di Sekolah Melayu Kota Raja di Singapura, di mana beliau juga mengadakan pameran pertamanya pada tahun 1951. Pada tahun 1960 -1964, Latiff belajar seni di Hochschule fur Bildende Kunste (Kolej Seni Halus) di Berlin, Jerman. Beliau juga belajar seni cetak di Atelier Lacouriѐre di Paris, dan bawah biasiswa John D. Rockefeller III di Pratt Graphic Center di New York. Kembara Asia Tenggara beliau pada tahun 1964 memberi inspirasi kepada berbagai karya seninya. Siri karyanya termasuk Pago-Pago (1960-1969), Mindscape (1973, 1974-1983), Langkawi (1976-1980) dan Gelombang (1985-1993). Beliau telah mempamer di seluruh dunia, seperti di Berlin, Frankfurt, Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London. Pada 2018, beliau menjadi artis Asia Tenggara pertama mempamer di Centre Pompidou di Paris. Latiff menetap di Pulau Pinang.

Sumber: Wikipedia

Bacaan Selanjutnya