Art Detail | Ilham Gallery
Gunung Ledang Series (Cherryvale)
 TAMBAH KE ALBUM
Gunung Ledang Series (Cherryvale)
1985

Karya catan ini diilhamkan oleh pohon-pohon ceri yang dilihat oleh Syed Ahmad Jamal sewaktu beliau melawat Adelaide, Australia. Ia mengingatkan kita kepada simbol segi tiga ‘gunungan’ dalam siri Gunung Ledang yang dihasilkan oleh beliau. Gunung Ledang, yang juga bermaksud 'gunung dari kejauhan', merupakan satu motif yang sering digunakan oleh pelukis ini disebabkan kepentingannya dari sudut budaya dan sejarah sebagai satu sumber penting kepada cerita-cerita rakyat dan dongeng dalam budaya Melayu. Warna-warna sejuk memenuhi catan yang tenang ini, sementara sebuah segi tiga besar menanjak ke langit untuk menggambarkan pembentukan konsep mistikal mengenai landskap gunung tersebut. Di sekelilingnya,  beberapa buah segi tiga yang lebih kecil menari-nari di dada langit biru lazuardi yang terbentang luas, sambil coretan-coretan berirama dengan warna merah dan jingga memeriahkan lagi karya ini di celah-celah garisan-garisan mendatar untuk menimbulkan suasana fantasi secara keseluruhannya. Dilukis dengan gaya ekspresionisme abstrak, Cherryvale memperlihatkan usaha secara emotif untuk mengimaginasikan semula persekitaran alam semula jadi yang sarat dengan proses negosiasi dan tolak-tarik antara hal-hal fizikal dan mitikal, tradisi dan kemodenan.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
91 x 91 cm
Tarikh:
1985
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Syed Ahmad Jamal
Tentang Syed Ahmad Jamal

Syed Ahmad Jamal (1929–2011) dilahirkan di Johor dan dianggap sebagai pelopor gerakan ekspresionisme abstrak di Malaysia. Beliau memainkan pelbagai peranan, iaitu sebagai pelukis, pendidik seni, pentadbir seni, penulis dan pemerhati budaya, dan selama lebih daripada empat dekad memberi sumbangan besar kepada perkembangan seni moden di negara ini. Beliau dianugerahkan biasiswa Sultan Ibrahim untuk menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina di Birmingham School of Architecture (1950–1951) dan kemudiannya mendalami seni lukis di Chelsea School of Art, London (1951–1955). Beliau kemudian belajar selama setahun di Institute of Education, Universiti London dalam bidang pendidikan seni dari tahun 1955 hingga 1956. Pada tahun 1963, beliau menerima geran Fulbright untuk mengikuti pengajian di Art Institute of Chicago dengan pengkhususan dalam bidang arca. Pada tahun 1973, beliau sekali lagi berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengikuti kursus peringkat Sarjana dalam jurusan Sejarah Seni di Universiti Hawaii, Honolulu dan pengajian dalam jurusan Falsafah Seni Islam di Universiti Harvard. Setelah kembali ke Malaysia, beliau mengajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas selama lebih daripada sepuluh tahun dan kemudiannya dilantik sebagai Pengetua Maktab tersebut. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya dan kemudiannya Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 hingga 1991. Syed Ahmad Jamal merupakan satu-satunya artis seni tampak yang setakat ini pernah dikurniakan anugerah Seniman Negara.

Bacaan Selanjutnya
  • Hasnol J. Saidon, ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis, 55 Years of Collecting Syed Ahmad Jamal’s Works’, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 2009

  • T.K. Sabapathy, ‘Merdeka Makes Art, Or Does It?’ Vision and Idea: ReLooking Modern Malaysian Art, ed. T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 1994. 

  • Modern Artists of Malaysia, T.K. Sabapathy, Redza Piyadasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983 

  • Syed Ahmad Jamal : A Historical Overview, 1954 - 1994, T.K. Sabapathy, Nanyang Gallery of Art, 1994

Bahagian Pembelajaran
  • Terangkan tentang susun atur lukisan ini. Adakah lukisan ini setangkup? Apakah perbezaan antara bahagian kiri dan bahagian kanan? Apakah yang terdapat di latar depan lukisan ini? Apakah pula yang terdapat di latar belakangnya? Warna-warna apakah yang lebih dominan? Di manakah letaknya warna-warna dominan tersebut? Di manakah pula letaknya warna-warna lain? Bolehkah anda terangkan teknik berusan pelukis ini? Apakah suasana yang terpancar daripada lukisan ini?

  • Adakah lukisan ini boleh dikatakan sebagai sebuah lukisan pemandangan? Apakah elemen-elemen pemandangan yang ada? Apakah elemen-elemen yang sudah diabstrakkan? Adakah tajuk tersebut membantu anda untuk memahami lukisan ini?