Art Detail | Ilham Gallery
Untitled
 TAMBAH KE ALBUM
Untitled
1987

Garis-garis halus bersimpang-siur yang dihasilkan oleh Ibrahim Hussein menjadi elemen paling utama dalam karya ini. Garis-garis berirama ini, yang menjadi unsur atau ciri yang sering hadir dalam kebanyakan karya Ibrahim Hussein, dilukis dengan ketebalan berbeza-beza dan bergerak ke pelbagai arah. Semua garis ini bertemu dan saling terjalin lalu menjadi sebuah gumpalan tanpa bentuk jelas yang mendominasi bahagian tengah kanvas. Garis-garis seperti urat-urat berwarna ini kelihatan seperti bentuk-bentuk fluks dan refluks yang mengalir dan menari-nari, bergerak keluar masuk dan silang menyilang antara satu sama lain dalam suasana kelam-kabut yang nampaknya tidak tentu arah. Di bawah pusaran tenaga yang padat ini, sebuah segi empat bujur –  bahagian tepinya dilukis dengan warna merah dan putih – melintangi kanvas.

Maklumat
Media:
Media campuran atas kanvas
Dimensi:
37.5 x 67.5 cm
Tarikh:
1987
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ibrahim Hussein
Tentang Ibrahim Hussein

Ibrahim Hussein (1936–2009) dilahirkan di Kedah. Beliau belajar di Nanyang Academy of Art di Singapura dan pada tahun 1959 menerima biasiswa untuk belajar seni di Byam Shaw School of Drawing and Painting di London. Selepas menamatkan pengajian di sana, beliau mendapat sebuah lagi biasiswa untuk belajar di Royal Academy of Arts di London selama tiga tahun. Pada tahun 1968, beliau berangkat ke New York sebagai penerima biasiswa John D. Rockefeller Fund. Pada tahun 1970, beliau menjadi pelukis pertama Malaysia yang menyertai Venice Biennale. Karya beliau pernah ditampilkan dalam pelbagai pameran yang diadakan di seluruh dunia, termasuklah di Amerika Syarikat, Singapura, Malaysia, Denmark, Jepun, Chile, Switzerland, Itali, Brazil, Kanada dan India. Pada tahun 1991, Ibrahim Hussein dan isterinya menubuhkan Yayasan Kebudayaan dan Muzium Ibrahim Hussein di Langkawi. Ia merupakan sebuah yayasan dan muzium tidak berasaskan keuntungan yang memberikan tumpuan kepada usaha mempromosi, membangunkan dan memajukan seni dan budaya.

Sumber: Art Asia Pacific

Bacaan Selanjutnya

  • Ibrahim Hussein: A Retrospective, National Art Gallery Malaysia, 1986

  • IB: A Life - The Autobiography of Ibrahim Hussein, by Ibrahim Hussein, edited by Eddin Khoo, Alia Ibrahim Hussein, Pentas Seni Pusaka, 2010

  • Modern Artists of Malaysia, T.K. Sabapathy, Redza Piyadasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983

Bahagian Pembelajaran

  • Perhatikan gambar ini. Terangkan apa yang anda lihat. Terangkan jenis garisan yang seniman ini gunakan. Warna-warna apakah yang anda lihat? Di manakah letak duduk warna-warna ini dalam gambar tersebut? Bentuk-bentuk apakah yang anda kenal? Bagaimanakah pula cara seniman ini menggunakan nada (tone)? Di manakah bahagian-bahagian yang lebih gelap atau cerah? Adakah karya ini memiliki corak atau tekstur?

  • Apakah suasana yang terpancar dari karya ini? Adakah karya ini mengingatkan anda kepada sesuatu? Apakah yang seniman ini fikirkan ketika beliau sedang menghasilkan karya ini?

  • Seniman ini tidak memberikan judul kepada karyanya ini. Kenapakah para seniman kadangkala memberikan judul atau tidak memberikan judul kepada karya mereka? Adakah judul lebih penting kepada sesebuah karya abstrak berbanding karya kiasan? Apakah judul yang ingin anda berikan kepada karya ini?